Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Safee Sali bersara dari bola sepak profesional

    KUALA LUMPUR, 21 FEB – Bekas penyerang prolifik kebangsaan Malaysia, Mohd Safee Sali hari ini mengumumkan persaraannya selepas hampir dua dekad berkecimpung dalam arena bola sepak profesional.

    Mohd Safee, 39, ketika mengumumkan perkara itu pada satu sidang media menyifatkan perjalanannya dalam sukan itu berakhir dengan cukup cemerlang menerusi pelbagai pencapaian di peringkat kelab mahupun ketika menyarung jersi kebangsaan.

    Menjadi antara watak penting dalam kejayaan Malaysia memenangi Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) pada aksi final 2010 menentang Indonesia, beliau berkata ini merupakan masa yang paling sesuai untuk bersara selepas mengambil kira usianya, selain tidak berupaya memberikan saingan sengit dalam perlawanan serta merebut slot kesebelasan utama.

    “Kini saya boleh memberikan tumpuan kepada perancangan untuk memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan saya dalam menjadi pemangkin buat generasi bola sepak Malaysia seterusnya,” katanya di sini hari ini.

    Mohd Safee memulakan karier profesionalnya pada 2004 dan pernah mewakili pelbagai kelab bola sepak terbaik negara dan di rantau ini antaranya Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur City FC (KL CIty FC), Selangor FC dan Pelita Jaya FC dari Indonesia.

    Safee Sali umum persaraannya dari arena bola sepak setelah hampir dua dekad beraksi. – Bernama

    Beliau turut memegang rekod sebagai pemain bola sepak Malaysia pertama beraksi dalam dua perlawanan akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) iaitu semasa bersama JDT pada 2015 dan KL City FC pada 2022.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin merakamkan penghargaan kepada Mohd Safee yang telah membuat 76 penampilan bersama skuad Harimau Malaya.

    “Safee merupakan legenda sebenar bola sepak Malaysia dan menjadi contoh kepada pemain muda dalam negara.

    Dedikasi, usaha keras dan semangat beliau terhadap sukan ini telah menempatkan dirinya di hati peminat di Malaysia dan komuniti bola sepak.

    Pemain kelahiran Selangor itu membuat penampilan terakhir bersama skuad kebangsaan ketika Malaysia mencatat keputusan seri 0-0 berdepan Filipina dalam aksi persahabatan pada Mac 2017. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...