Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saham Aramco laris, raih AS$11.2b daripada pelabur asing

    RIYADH, 12 JUN – Syarikat minyak gergasi Saudi, Aramco, kelmarin mengumumkan penutupan jualan saham sekundernya yang memperoleh AS$11.2 bilion dan menarik pelabur asing baharu.

    Tawaran tersebut adalah yang terbesar di Timur Tengah sejak tawaran awam awal (IPO) Aramco pada 2019, menurut kenyataan syarikat itu, memberikan suntikan kewangan kepada Arab Saudi di tengah-tengah usaha pembaharuan ekonomi besar-besaran.

    “Urus niaga penting ini mencapai matlamat untuk mempelbagaikan dan memperluaskan jumlah pemegang saham Aramco dengan penyertaan kukuh daripada pelabur antarabangsa dan tempatan yang baharu, sekali gus menyokong aktiviti perdagangan saham kami,” kata Ketua Eksekutif Aramco, Amin Nasser, dalam kenyataan tersebut.

    Aramco, permata ekonomi Arab Saudi yang sebahagian besarnya dimiliki negara, mengumumkan pada 30 Mei bahawa ia akan menjual 1.545 bilion saham, atau kira-kira 0.64 peratus daripada saham yang diterbitkan, di bursa saham Saudi.

    Ia dilihat sebagai ujian minat pelabur asing lebih daripada sebahagian kempen kerajaan yang dikenali sebagai Wawasan 2030, dengan cita-citanya dicerminkan dalam projek-projek besar seperti NEOM, sebuah bandaraya moden futuristik yang dirancang dibina di padang pasir.

    Sumber yang rapat dengan situasi tersebut memberitahu AFP kira-kira 58 peratus saham telah diperuntukkan kepada pelabur antarabangsa, meningkat daripada kira-kira 23 peratus untuk IPO pada 2019.

    Hasil daripada jualan itu akhirnya boleh meningkat kepada AS$12.35 bilion jika Merrill Lynch Kingdom of Saudi Arabia, pengurus penstabil, menggunakan lebihan peruntukan atau pilihan untuk menjual saham tambahan, yang boleh dilakukan sehingga 9 Julai, kata Aramco, kelmarin.

    Arab Saudi adalah pengeksport minyak mentah terbesar di dunia dan pegangan kerajaan dalam Aramco adalah sekitar 81.5 peratus selepas jualan saham kedua ini. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda