Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sai-Gone II tahan 22, rampas syabu

    Gambar serahan BKN

    BELAIT, 27 FEB – Biro Kawalan Narkotik, baru-baru ini, telah menahan seramai 22 orang yang terdiri daripada 18 lelaki dan empat perempuan dalam lingkungan umur 17 hingga 53 tahun, selain turut merampas 282.76 gram syabu serta wang tunai berjumlah $2,630 dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah.

    Menurut BKN, kesemua suspek ditangkap semasa Operasi Sai-Gone Fasa II yang dijalankan secara serentak di lima lokasi berasingan yang aktif menjalankan aktiviti penjualan dadah di Daerah Belait pada 20 Februari lalu.

    Turut dirampas ialah alat perkakas yang telah diubahsuai dipercayai digunakan untuk menyalahgunakan dadah, beberapa unit telefon bimbit serta alat timbangan digital bagi kegunaan kegiatan pengedaran dadah.

    Salah seorang suspek utama dalam Operasi Sai-Gone Fasa II ini akan didakwa di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar melebihi 100 gram syabu dan jika sabit boleh membawa hukuman gantung hingga mati.

    Manakala, seorang lagi suspek utama Operasi Sai-Gone Fasa II ini merupakan anak kepada dalang Operasi Sai-Gone yang telah ditumpaskan sebelum ini.

    Antara bungkusan dadah syabu yang dirampas dalam Operasi Sai-Gone Fasa II.
    Wang tunai antara yang dirampas dalam operasi tersebut.
    Antara bungkusan dadah syabu yang dirampas dalam Operasi Sai-Gone Fasa II.

    Walaupun bapa suspek berkenaan telah ditahan dan disiasat atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar yang boleh membawa kepada hukuman mati, namun ia tidak menghalang suspek daripada turut terlibat dan meneruskan aktiviti pengedaran dadah yang didalangi oleh bapa suspek.

    BKN dalam kenyataannya turut menyatakan serbuan itu adalah operasi susulan kepada projek Operasi Sai-Gone dan menyasarkan suspek-suspek yang mempunyai kaitan dengan Operasi Sai-Gone yang telah dijalankan pada 19 dan 22 Disember 2022.

    Secara keseluruhan, BKN telah menahan seramai 37 orang dan merampas sebanyak 556.67 gram daripada dua fasa Operasi Sai-Gone yang telah dijalankan pada Disember 2022 dan Februari 2023.

    Dadah syabu yang dirampas dianggarkan bernilai lebih $108,000 dan boleh menampung kira-kira 55,667 orang penagih dadah.

    BKN juga mengingatkan kepada orang ramai yang operasi-operasi bertujuan bagi melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah itu akan terus dilaksanakan untuk melindungi masyarakat dan mempertahankan keselamatan negara daripada anasir-anasir dadah haram.

    Dalam sama-sama memastikan kesejahteraan dan keamanan negara demi mencapai Wawasan Brunei 2035, orang ramai adalah diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan dadah kepada BKN.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda