DOHA, 22 NOV – Penyerang Sepanyol, Nico Williams mahu membawa persaingan adik-beradik dengan abangnya, penyerang Ghana, Inaki Williams, ke peringkat tertinggi.
Bermain sebagai rakan sepasukan untuk Athletic Bilbao, pasangan adik-beradik tersebut sangat akrab. Namun, Nico, 20, berharap mereka dapat bertemu dalam aksi Piala Dunia Qatar dalam peringkat suku akhir.
Adik-beradik Williams akan menjadi pasangan kedua yang bakal bertemu dalam Piala Dunia selepas pasangan Jerome dan Kevin-Prince Boateng melakukannya pada tahun 2010 dan 2014 semasa Jerman berdepan Ghana.
“Saya mahu berdepan Ghana melebihi segala-galanya,” Nico berkata kepada AFP dalam temu bual di kem latihan Spain di Qatar Universiti.
“Ia adalah persaingan adik-beradik. Saya harap kami dapat melakukannya secara profesional.”
Hubungan yang erat terjalin antara mereka berdua semasa ibu bapa mereka mengharungi perjalanan sejauh 4,000 kilometer dari Ghana ke Melilla, Sepanyol.
Ibu mereka, Maria Williams sedang mengandungkan Inaki pada masa itu dan selepas ibu bapa mereka diberi perlindungan suaka di Bilbao, Inaki dilahirkan di sana pada tahun 1994. Nico pula dilahirkan lapan tahun kemudian. – AFP