SYDNEY, 25 NOV – Saintis di Universiti New South Wales (UNSW) Australia berjaya mencipta kaedah baharu untuk mengesan kesegaran susu menggunakan motor getaran yang terdapat dalam setiap telefon pintar.
Menurut Oddity Central, inovasi teknologi yang dinamakan VibMilk itu membolehkan pengguna memeriksa sama ada susu rosak atau masih selamat untuk diminum tanpa perlu membuka botolnya.
Sistem itu menggunakan motor getaran dan unit pengukuran inersia (IMU) yang terdapat dalam telefon pintar bagi menilai kesegaran susu dengan ketepatan tinggi.
Menurut Profesor Wen Hu dari Fakulti Sains Komputer dan Kejuruteraan UNSW, VibMilk menggunakan pendekatan tidak invasif untuk menguji susu tanpa membuka penutup, sekali gus mengurangkan risiko pencemaran bakteria yang boleh mempercepatkan kerosakan susu.
“Biasanya, pengguna menghidu atau merasa susu untuk mengetahui sama ada ia masih elok, tetapi itu memerlukan bekas dibuka. Dengan VibMilk, kesegaran susu boleh diuji tanpa membuka botolnya,” katanya.
Teknologi itu juga berpotensi mengurangkan pembaziran produk tenusu yang kini dianggarkan mencecah 20 peratus daripada jumlah keseluruhan.
VibMilk direka dengan memahami perubahan fizikal yang berlaku apabila susu rosak iaitu bakteria bertambah dalam susu, tahap laktat meningkat dan glukosa menurun sehingga menyebabkan perubahan pada sifat fizikal seperti ketumpatan, kelikatan dan keadaan permukaan.
Telefon pintar dengan teknologi VibMilk akan menghantar getaran melalui susu dan merekodkan isyarat balasnya, di mana isyarat itu kemudian dianalisis menggunakan algoritma pembelajaran mesin untuk menentukan tahap pH susu pada 23 peringkat berbeza.
Kajian mendapati teknologi itu mampu meramal tahap pH susu dengan ketepatan purata 98.35 peratus, manakala ketepatan 100 peratus dicapai untuk menentukan susu segar dan ujian itu dilakukan menggunakan empat jenis telefon pintar yang berbeza.
Menurut UNSW, teknologi itu lebih praktikal berbanding kaedah terdahulu yang memerlukan peralatan mahal, hanya berfungsi dengan bekas susu lut sinar, atau terlalu sukar untuk digunakan secara meluas.
Dengan VibMilk, pengguna boleh memeriksa susu secara langsung sebelum menggunakannya, mengelakkan pembaziran makanan atau risiko keracunan makanan.
Teknologi itu dijangka memberi manfaat besar kepada pengguna di seluruh dunia dengan mengurangkan pembaziran makanan dan memastikan keselamatan makanan lebih terjamin. – Agensi