WELLINGTON, 2 DIS – Saintis di New Zealand hari ini memulakan bedah siasat ke atas spesies paus paling jarang ditemui di dunia, paus spade-toothed, yang hanya tujuh spesimen pernah direkodkan dalam sejarah.
Paus itu, yang terdampar mati di Pulau Selatan New Zealand awal tahun ini, menawarkan peluang luar biasa untuk mengkaji mamalia laut dalam yang belum pernah dilihat dalam keadaan hidup.
Dengan panjang lima meter, paus itu telah diangkat keluar dari pantai pada Julai lalu dan disimpan dalam peti sejuk khas sejak itu.
Pakar paus, Anton van Helden, menyatakan ia adalah kali pertama saintis berpeluang menjalankan bedah siasat ke atas spesimen lengkap paus spade-toothed, yang tergolong dalam keluarga ikan paus berparuh.
“Ini adalah peluang yang luar biasa dan penting di peringkat global,” katanya.
Bedah siasat yang dijangka mengambil masa seminggu itu diharapkan dapat memberikan maklumat penting tentang tingkah laku, diet dan anatomi asas paus tersebut.
“Paus berparuh adalah kumpulan mamalia besar yang paling sukar difahami di dunia,” tambah Van Helden.
“Ia adalah penyelam laut dalam yang jarang dilihat di perairan terbuka, menjadikan kajian tentang mereka satu cabaran besar.
“Spesimen ini adalah yang paling jarang antara yang jarang hanya spesimen ketujuh yang diketahui di seluruh dunia dan pertama kali kita berpeluang menjalankan kajian seperti ini,” jelasnya.
Jabatan Pemuliharaan New Zealand mengesahkan paus spade-toothed sebagai ‘ikan paus paling jarang ditemui di dunia’.
Spesies itu pertama kali dikenal pasti pada tahun 1874 berdasarkan rahang bawah dan dua gigi yang ditemui di Kepulauan Chatham, di pantai timur New Zealand.
Penemuan awal itu, bersama dengan sisa rangka dua spesimen lain yang ditemukan di New Zealand dan Chile, membolehkan saintis mengesahkan kewujudan spesies baharu berkenaan.
Disebabkan bilangan spesimen yang sangat sedikit ditemui dan ketiadaan penemuan paus itu dalam keadaan hidup, spesies spade-toothed diklasifikasikan sebagai data deficient di bawah Sistem Klasifikasi Ancaman New Zealand. – AFP