NEW YORK, 28 MAC – Sekumpulan saintis telah menemui spesies tebuan purba yang memiliki ciri unik menyerupai perangkap tumbuhan Venus flytrap, dipercayai wujud sejak era dinosaur.
Penemuan itu melibatkan lebih belasan spesimen tebuan betina yang diawet dalam ambar (botol) berusia 99 juta tahun dari wilayah Kachin, utara Myanmar. Tebuan tersebut mempunyai bahagian abdomen yang dilengkapi kepak kecil dengan bulu-bulu halus menyerupai ‘perangkap beruang kecil’, menurut penyelidik dari Muzium Sejarah Alam Denmark, Lars Vilhelmsen.
Ciri unik itu menyerupai mekanisme tumbuhan Venus flytrap yang menutup daunnya untuk memerangkap serangga. Bagaimanapun, saintis berpendapat struktur itu bukan untuk menghancurkan mangsa, sebaliknya bertindak untuk memegang serangga yang bergerak bagi membolehkan tebuan itu bertelur.
Seperti spesies tebuan parasit moden termasuk tebuan cuckoo dan bethylid, tebuan purba itu dipercayai menggunakan strategi yang sama untuk memastikan kelangsungan hidup larvanya dengan menjadikan serangga lain sebagai perumah.
“Saya telah melihat banyak serangga pelik, tetapi ini antara yang paling luar biasa pernah saya temui,” kata ahli entomologi dari Universiti California, Davis, Lynn Kimsey, yang tidak terlibat dalam kajian tersebut.
Saintis menamakan spesies baharu itu sebagai Sirenobethylus charybdis, bersempena raksasa laut dalam mitologi Yunani yang mencipta pusaran air liar.
Kajian itu diterbitkan dalam jurnal BMC Biology dan melibatkan penyelidik dari Capital Normal University serta Muzium Amber Xiachong Beijing, China.
Namun, tidak jelas bila tebuan itu pupus. Mempelajari serangga luar biasa seperti itu boleh membantu saintis memahami apa yang mampu dilakukan oleh serangga dan perbezaannya. – AP
