KEMERIAHAN majlis perkahwinan berjalan lancar. Semua jemputan kagum melihat hiasan pelamin dan dewan pengantin yang dihias dengan cantik sekali.
Sesekali mata melirik pula kepada raja sehari. Begitu juga dengan hidangan pengantin sudah semestinya harus sama gah, menarik, sedap dan yang pentingnya senang untuk dinikmati oleh pasangan.
Justeru itu, cubalah menu menyentuh hati ini sesuai buat meraikan orang yang tersayang.
Kurma Kambing
Bahan-bahan:
1kg daging kambing yang dibersihkan dan tos.
1 batang serai dititikkan
1 keping asam gelugur
1 camca besar gula
2 camca besar kerisik
1 cawan pati santan
2 biji cili merah yang dibelah dua dan jangan diputuskan setiap satu untuk dijadikan hiasan.
2 biji cili hijau yang dibelah dua dan jangan diputuskan setiap satu untuk dijadikan hiasan.
4 biji kentang yang dipotong empat bahagian dan direndam.
2 biji tomato yang dipotong kecil.
10 biji tomato ceri
5 camca besar minyak sapi
½ cawan minyak masak
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Bahan kisar halus:
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 ½ inci halia
1 inci lengkuas
1 camca teh lada hitam biji
Bahan tumis:
1 biji bawang besar hiris
2 tangkai daun kari
1 camca teh jintan halus
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih
Cara membuat:
Goreng kentang dengan sedikit
minyak sehingga berwarna kuning keemasan, angkat dan tos serta ketepikan.
Panaskan minyak dan masukkan minyak sapi. Masukkan bahan-bahan tumis dan serai.
Tumis sehingga harum, masukkan tomato dan kacau rata.
Tambah bahan kasar dan rempah kurma, kacau rata dan masak sehingga timbul minyak.
Guna api kecil dan kacau selalu.
Tambah daging kambing , gaul rata dan masak sehingga daging kecut.
Tuang air secukupnya, kacau dan masak dengan api yang sederhana hingga daging lembut.
Tambah kerisik, asam gelugur
dan pati santan.
Kacau dan masak hingga
kuahnya pekat.
Masukkan gula Melaka, cili hijau, cili merah dan kentang goreng.
Kacau rata dan sesuaikan rasa garam.
Masukkan tomato ceri, masak sekejap dan ia sedia untuk dihidangkan.
Nasi Beriani
Bahan-bahan:
4 cawan beras basmathi direndam selama 20 minit dan toskan.
1 1/2 cawan susu cair
¼ cawan minyak jagung
4 camca besar minyak sapi
4 cawan air
2 kiub ayam
3 camca besar rempah beriani yang dibancuh dengan sedikit air sehingga ia menjadi pes.
Secubit saffron yang direndam dengan air panas.
1 mangkuk kecil buah gajus
1 mangkuk kecil kismis
1 biji bawang besar yang dihiris halus
2 helai daun pandan yang disimpul
1 ikat daun ketumbar yang dihiris kasar
2 camca teh garam
Sedikit pewarna kuning dan pati oren
Hiaskan dengan bawang goreng
Sedikit bawang goreng untuk hiasan.
Bahan kisar halus:
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Bahan tumis:
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
Cara membuat:
Panaskan minyak jagung dan minyak sapi. Tumis bahan tumis dan bawang besar hingga harum dan bawang layu.
Masukkan bahan kisar, rempah beriani, buah gajus dan daun pandan.
Tumis sehingga naik masak dan tuang air dan biar ia mendidih.
Masukkan susu cair, garam dan kiub ayam. Bila mendidih, padamkan api.
Tuang dalam periuk nasi elektrik. Masukkan beras, kacau rata dan masak seperti biasa.
Bila nasi kering, buat beberapa lubang dan masukkan air rendaman saffron, pewarna kuning dan pati oren.
Tabur kismis dan biar nasi betul-betul masak.
Gemburkan nasi secara perlahan dengan menggunakan garfu.
Tabur bawang goreng dan hirisan daun ketumbar.
Acar buah
Bahan-bahan:
500 gram jeruk buah-buahan campuran
1 cawan minyak menumis
2 cawan pes cili kering
5 sudu besar cuka makan
1 paket kecil rempah kari ikan yang dibancuh
1.5 cawan gula putih
1 cawan gula merah yang dibancuh dengan air panas dan ditapis
Garam secukup rasa
Air secukupnya
3 sudu besar bijan yang digoreng kering
Bahan kisar halus:
5 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah yang ditumbuk
2 inci halia
Bahan tumis:
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga
½ sudu besar jintan putih biji yang digoreng kering dan ditumbuk.
½ sudu besar jintan manis biji yang digoreng kering dan ditumbuk.
Cara membuat:
Panaskan minyak dalam periuk.
Tumiskan bahan tumis sehingga naik bau.
Masukkan bahan kisar dan kacau sehingga menjadi kuning.
Jangan biar ia hangit dan masukkan pes cili kering.
Kacau sehingga cili kering menjadi garing.
Masukkan rempah kari ikan dan kacau sehingga naik minyak.
Masukkan air, jeruk buah-buahan, kacau rata.
Masukkan gula dan gula merah, cuka dan garam. Kacau perlahan-lahan.
Masak sehingga ia menjadi agak kering. Pastikan rasa kuahnya seimbang.
Bila sejuk angkat dan taburkan bijan.