LONDON, 2 FEB – Mohamed Salah menjaringkan dua gol untuk membawa Liverpool mendahului dengan sembilan mata di puncak Liga Perdana apabila tewaskan Bournemouth 2-0 kelmarin.
Dua gol Salah membawanya mengatasi Frank Lampard sebagai penjaring gol keenam tertinggi dalam sejarah Liga Perdana dengan 178 gol pada satu lagi hari yang penting dalam pasukan The Reds.
Sebelum ini, Bournemouth tidak pernah tewas dalam 12 perlawanan dalam semua pertandingan dan turut tewaskan Arsenal dan Manchester City di laman sendiri awal musim ini.
The Cherries boleh menganggap diri mereka bernasib malang kerana tidak dapat lanjutkan rekod tanpa kalah apabila dua percubaaan melalui Antoine Semenyo dan Marcus Tavernier terkena palang di kedua-dua belah separuh masa.
Bournemouth juga berang dengan penalti yang membuka jaringan pada setengah jam perlawanan apabila Cody Gakpo kelihatan tersadung kakinya sendiri ketika dicabar Lewis Cook.
Salah dengan kejam menyempurnakan sepakan penalti menambah jaringan ke-20 beliau dalam Liga Perdana musim ini.
Salah menambah jaringan apabila dia merembat dengan kaki kiri kegemarannya membuat lengkungan ke sudut atas gawang mendapatkan tiga mata penuh dalam liga.
“Rasanya bagus untuk menjaringkan gol, untuk menang, tetapi sasaran utama saya musim ini adalah untuk memenangi Liga Perdana bersama pasukan jadi kami mesti meneruskannya,” kata Salah, yang masa depannya di Anfield selepas musim ini masih belum jelas.
Arsenal yang menduduki tempat kedua mempunyai cabaran besar jika mereka mahu menghalang anak buah Arne Slot ditambah lagi menjadi tuan rumah melayan Manchester City hari ini. – AFP