Saturday, October 26, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salah guna dokumen palsu dapatkan gelaran datuk

    MELAKA, 25 OKT – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan surat kelulusan palsu bagi mendapatkan darjah kebesaran negeri.

    Mohamad Nizam Abdul Ghani, 46, didakwa telah menggunakan sebagai tulen satu surat kelulusan bagi anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) atas nama tiga individu, di mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu telah dipalsukan dengan niat untuk menipu.

    Dia dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Perdana di dalam daerah Melaka Tengah pada 11:06 malam 21 September lepas mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan didenda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan namun peguam Kent Tan Chow Teng yang mewakili tertuduh, merayu jaminan munasabah kerana anak guamnya yang bekerja sendiri berpendapatan tidak menentu serta menanggung empat anak dan ibu bapanya.

    Mahkamah menetapkan 4 Disember ini untuk menjatuhkan hukuman dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

    Sementara itu rakan tertuduh, Shahrizan Sahauddin, 45, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memalsukan dokumen sama atas nama tiga individu itu di lokasi dan tarikh serupa. Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda