Monday, February 3, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salah kukuh kedudukan Liverpool

    LONDON, 2 FEB – Mohamed Salah menjaringkan dua gol untuk membawa Liverpool sembilan mata di hadapan di puncak Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Bournemouth 2-0 semalam, sementara pasukan di tangga ketiga, Nottingham Forest, membelasah Brighton 7-0.

    Dua gol Salah menjadikannya penjaring keenam terbanyak dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dengan 178 gol, pada satu lagi hari penting dalam usaha The Reds untuk meraih kejuaraan liga utama England ke-20.

    Bournemouth sebelum ini belum tewas dalam 12 perlawanan dalam semua pertandingan dan berjaya menewaskan Arsenal serta Manchester City di tempat sendiri musim ini.

    The Cherries boleh menganggap diri mereka kurang bernasib baik kerana gagal meneruskan rekod tanpa kalah itu selepas percubaan Antoine Semenyo dan Marcus Tavernier masing-masing terkena tiang sebelum dan selepas waktu rehat.

    Bournemouth juga berang dengan keputusan pengadil yang memberikan penalti pada minit ke-30, apabila Cody Gakpo kelihatan seperti tersadung kakinya sendiri ketika memasuki kotak penalti, bukannya dijatuhkan oleh Lewis Cook.

    VAR tidak campur tangan untuk membatalkan keputusan asal pengadil Darren England dan Salah dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk gol ke-20nya dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

    Bournemouth terus memberikan tekanan untuk mencari gol penyamaan selepas rehat, tetapi Justin Kluivert yang sedang dalam prestasi baik mensia-siakan dua peluang besar, sementara satu lagi percubaan Tavernier terkena tiang. – AFP

    Pemain Liverpool, Mohamed Salah (kiri), menjaringkan gol pembukaan pasukannya melalui sepakan penalti dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth di Stadium Vitality, Bournemouth, England, pada 1 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda