Monday, April 28, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salah: Raja Mesir di Liverpool

    LIVERPOOL, 28 APRIL – Seorang wira Mesir dan juga legenda di Liverpool, Mohamed Salah telah menyemarakkan legasinya yang luar biasa di Anfield dengan salah satu musim individu yang hebat sepanjang zaman untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana.

    Pemain berusia 32 tahun itu telah menjaringkan 28 gol dan 18 assist setakat ini ketika Liverpool menyamai rekod Manchester United yang merangkul 20 kejuaraan liga utama Inggeris Ahad lalu.

    Rekod beliau adalah rekod baharu Liga Perdana untuk musim 38 perlawanan dan rekod sebanyak 47 (gol dan assist) nampaknya bakal diatasi sebelum musim tamat.

    Jumlah 185 gol Salah dalam liga utama Inggeris adalah yang kelima tertinggi dalam sejarah Liga Perdana dan dia juga berada dalam 10 terbaik untuk assist.

    Penyerang itu tidak tiba di Anfield dan terus bergelar bintang apabila Liverpool membayar Roma AS$45 juta untuk perkhidmatannya pada 2017.

    Seorang pemain sayap yang lincah, dia pernah bergelut untuk konsisten sejak berpindah dari tanah airnya ke kelab Switzerland, Basel ketika berusia 19 tahun.

    Juga pernah beraksi di Chelsea dan dipinjamkan ke Fiorentina sebelum menyertai Roma secara tetap. Persembahannya di sana memulihkan reputasi Salah dan berjaya menarik minat Liverpool walaupun dia bukan pilihan pertama Jurgen Klopp pada mulanya.

    Klopp tidak mengambil masa lama untuk diyakinkan apabila Salah menjaringkan 44 gol dalam musim sulung yang menakjubkan, membawa Liverpool ke final Liga Juara-Juara dan menamatkan saingan Liga Perdana empat teratas.

    Setelah itu, dia dengan cepat digelar sebagai ‘Raja Mesir’ di Merseyside dan semakin banyak trofi dimenangi kemudiannya.

    Salah pernah dikecewakan dengan kekalahan final Liga Juara-Juara 2018 kepada Real Madrid serta terlepas beraksi dengan Mesir kerana kecederaan bahu.

    Setahun kemudian, dia menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menewaskan Tottenham 2-0 memberikan trofi pertama era Klopp.

    Disusuli dengan juara Liga Perdana, Piala FA dan dua Piala Liga kemudiannya ditambah ke dalam kabinet trofi dan juga satu lagi larian ke final Liga Juara-Juara.

    Salah juga kerap menyiarkan gambarnya bersenam di media sosial, membuktikannya kekal cergas walaupun usianya bertambah.

    “Ia bukan satu kebetulan kerana hari pertama saya di sini, kami melakukan ujian kecergasan dan dia adalah pemain kami yang paling cergas,” kata Slot. – AFP

    Mohamed Salah meraikan kemenangan juara liga dengan peminat setelah tewaskan Tottenham Hotspur di Liverpool, England kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda