Friday, February 7, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saluran gas Crimea musnah angkara sabotaj

    MOSCOW, 1 Nov – Unit Keselamatan Rusia berkata mereka kini sedang menyiasat kemungkinan unsur-unsur sabotaj selepas saluran paip gas dan jana kuasa elektrik rosak di Crimea.

    Selepas berlakunya gangguan bekalan, “pakar telah menemui kerosakan luaran pada saluran paip gas” dan kawasan selatan Crimea mengalami kekurangan bekalan elektrik disebabkan kegagalan saluran jana kuasa, kata jawatankuasa kebangsaan antipengganas.

    “Beberapa petanda telah dikenal pasti, termasuk unsur sabotaj,” mereka menambah.

    Penguasa Crimea Sergei Aksyonov berkata, beberapa buah kampung tidak mendapat bekalan gas sejak malam Selasa dan akan diperbaiki dalam masa sehari.

    Rusia merampas semenanjung Crimea dari Ukraine pada Mac 2014 dan mendapat kecaman antarabangsa.

    Moscow berkata Kiev telah menghantar perisik dan pensabotaj ke persisiran di antara semenanjung dan Ukraine dan telah menahan beberapa penceroboh.

    Ukraine menafikan telah menghantar perisik ke Crimea dan menuduh Rusia sebagai punca utama dalam kerosakan infrastruktur.

    Agensi Russia berkata kawasan di antara Ukraine dan Crimea tidak berfungsi disebabkan kesalahan teknikal, merujuk kepada laporan dari Unit Keselamatan FSB.

    Ketua KrymGazSeti, rangkaian gas Crimea, Sergei Tarasov memberitahu agensi berita TASS bahawa syarikat tersebut telah memperkuatkan lagi sistem keselamatan berdasarkan pelan antipengganas menentang sabotaj dan telah menghantar pengawal keselamatan untuk mengawasi saluran gas. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda