Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Sambutan Aidilfitri suram akibat masalah bekalan air

    PASIR PUTEH, 12 APRIL – Kira-kira 300 keluarga di Mukim Telipot di sini terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan ‘suram’ dan ala kadar berikutan gangguan bekalan air sejak Selasa lepas.

    Penghulu Muhd Zali Mat Daud, 57, berkata rata-rata penduduk tidak dapat menyediakan juadah raya seperti sebelum ini kerana bekalan air yang disimpan hanya mencukupi untuk mandi dan keperluan penting sahaja.

    Beliau berkata anak-anak yang pulang dari perantauan untuk berhari raya bersama keluarga turut menanggung keperitan ketiadaan bekalan air.

    “Masalah bekalan air di kampung ini memang sering berlaku, namun sehari sebelum hari raya hingga sekarang kami masih berdepan dengan masalah gangguan air.

    “Oleh itu, semua persiapan raya banyak tergendala terutama untuk memasak juadah raya, malah tetamu yang hadir dihidangkan kudapan serta biskut raya yang dibeli sahaja dan rumah terbuka juga tidak dapat diadakan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

    Muhd Zali berkata Mukim Telipot merupakan kawasan yang agak tinggi menyebabkan kos untuk membina telaga tiub mencecah RM8,000 dengan anggaran kedalaman 25 meter.

    Penduduk Kampung Chengal Pulas, Saufi Ariffin, 60, pula berkata beliau menyediakan kira-kira 20 tong hitam dan baldi bagi menyimpan bekalan air untuk kegunaan keluarga sepanjang Ramadan dan Syawal.

    Beliau berkata, semasa bulan puasa bekalan air diperolehi antara pukul 2 pagi hingga 6 pagi sahaja.

    “Masalah air ini sangat membebankan kami, bukan hanya terpaksa sediakan bekas simpanan tetapi terpaksa berjaga malam mendapatkan bekalan air untuk kegunaan keluarga,” katanya. – Bernama

    Saufi mengagihkan air ke dalam bekas simpanan untuk kegunaan keluarganya berikutan gangguan bekalan air ketika ditemui Bernama di Kampung Chengal Pulas kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...