Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan BIBD
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Kemeriahan suasana Hari Raya Aidilfitri masih hangat dirasakan walaupun sudah memasuki minggu kedua Syawal dengan majlis-majlis rumah terbuka terus giat dianjurkan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Sementara itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) juga tidak ketinggalan meraikan sambutan Aidilfitri yang berlangsung di Grand Samudra Hall, The Empire Brunei, hari ini.
Antara yang hadir pada majlis itu ialah menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri, setiausaha tetap (SUT) dan timbalan SUT, pegawai kanan kerajaan, orang-orang kenamaan asing serta orang terkemuka perniagaan dan tokoh masyarakat.
Pengacara majlis Gema Syawal itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Junaidi bin Haji Masri juga tidak melepaskan peluang melayan kira-kira 2,000 orang tetamu yang hadir pada sambutan itu.
Sambutan tersebut adalah sebagai menunjukkan penghargaan kepada pihak berkepentingan yang telah menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan bank.
Antara lain tujuan acara adalah untuk mengukuhkan hubungan bank dengan pihak yang telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan BIBD, Negara Brunei Darussalam dan juga ekonomi.
BIBD pada majlis itu, turut mempamerkan salah satu kerjasama yang sangat produktif dan dinamik dengan kerajaan iaitu Projek Tunas.
BIBD, sebagai rakan kongsi dalam kemajuan negara melangkaui perbankan, amat menghargai sokongan dan kepercayaan daripada rakan kongsi strategik daripada sektor awam dan swasta yang bekerjasama dengan bank dalam menjayakan projek yang sejajar dengan nilai bank dan matlamat negara ke arah menyumbang kepada kemakmuran kejayaan ekonomi, keterangkuman kewangan dan kemapanan selaras dengan Wawasan
Brunei 2035.




