Oleh Yusrin Junaidi
Kemeriahan dan kehangatan sambutan Hari Kebangsaan 2023 tidak hanya dapat dilihat dan dirasai pada acara perbarisan yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.
Malah kemeriahan dan semangat patriotik serta rasa teruja orang ramai dapat dilihat pada segenap lapisan masyarakat dari pelbagai bangsa dan agama yang hadir meramaikan upacara berkenaan.
Ketiadaan sambutan secara besar-besaran selama dua tahun susulan pandemik COVID telah meningkatkan semangat patriotik rakyat Brunei bagi membawa seisi keluarga termasuk anak-anak kecil sejak awal pagi untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan secara langsung sambutan kali ini.
Wartawan Media Permata berkesempatan menemui beberapa warga emas yang turun padang bagi memeriahkan suasana.
Haji Kula bin Mat Jair, 78, bersama isteri, Hajah Rosni binti Haji Yusof, 54, dari Kampung Burung Pingai Berakas menzahirkan rasa syukur kepada Allah atas izinNya jua diberi peluang menyaksikan lagi sambutan berkenaan dengan meriah dan selesa berbanding tahun-tahun sebelumnya ketika negara dibelenggu penularan wabak COVID-19.
Menurutnya, sebelum ini kita melalui beberapa sekatan atau perintah kawalan pergerakan kerana pandemik COVID yang menjejaskan kestabilan kesihatan awam nasional.
“Alhamdulillah, hari ini kelihatan normal seperti waktu sebelum COVID-19,” ujarnya.
Sementara itu, Haji Sohaili bin Haji Mohidi antara anak belia pasca hari kemerdekaan pada tengah malam tanggal 1 Januari 1984 ketika ditemui amat merasakan bertuah apabila pengisytiharan hari kemerdekaan negara dirasmikan dengan laungan kalimah tauhid ‘Allahuakbar’ oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.
“Setelah 39 tahun menelusuri kemerdekaan, pastinya sudah banyak penyusunan, penyelenggaraan dan pencapaian di ambang Wawasan 2035,” katanya.
Manakala, Haji Duming bin Haji Abdul Wahab, 75, dari Kampung Lambak yang turut mengambil beberapa keping gambar untuk dijadikan kenang-kenangan dan ristaan kepada anak cucunya kelak berkata beliau tidak pernah ketinggalan untuk mengambil gambar-gambar sepanjang sambutan upacara perbarisan berlangsung.
“Alhamdulillah, hari ini sangat-sangat selesa dan sangat meriah, saya berharap ia akan kekal seperti hari ini pada masa akan datang,” tambahnya.
Seterusnya, Setiausaha Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei Yang Bersara (POLSARA), Haji Yahya bin Haji Ibrahim, berasa amat bersyukur dapat bersama dengan peserta-peserta untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.
“Sambutan hari ini lebih meriah disebabkan Negara Brunei Darussalam telah memasuki fasa endemik dan berharap suasana seperti ini akan tetap berterusan,” ujarnya.