Oleh Yusrin Junaidi, Nurdiyanah R., Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Pelbagai pihak di negara ini telah mengadakan sambutan bagi memperingati peristiwa agung Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW, de-ngan penganjuran majlis yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rohani serta merapatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat Islam.
Di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Majlis Keagamaan sempena Sambutan Israk dan Mikraj bagi Tahun 1446H/2025M diadakan di Dewan Serbaguna, KHEDN, baru-baru ini. Ceramah disampaikan oleh Pegawai Ugama dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang. Dalam ceramah bertajuk Keajaiban Solat dalam Meningkatkan Daya Ingatan, Releksasi dan Pembinaan Mindset Positif, beliau mengupas tentang kepentingan solat yang bukan sahaja merupakan kewajipan ibadah, tetapi juga memberikan manfaat sebagai terapi untuk minda dan tubuh.
Majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat itu turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri,Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha tetap, dan pegawai kanan kementerian serta jabatan di bawahnya.
Sementara itu, di Sekolah PGGMB Sungai Akar, majlis sambutan yang dianjurkan oleh Bahagian Agama sekolah tersebut juga mencerminkan semangat murid-murid dalam menghayati ajaran Islam. Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri, hadir sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan kuiz dan menghafaz surah-surah pendek. Beberapa aktiviti menarik turut diadakan, termasuk pertandingan kuiz dan hafazan surah pendek untuk murid-murid Tahun 2 hingga Tahun 6.
Manakala majlis yang diadakan di Tinkerbell Learning School (TLS) hari ini turut menyaksikan tazkirah mengenai peristiwa Israk dan Mikraj yang disampaikan oleh Guru Ugama TLS, Pengiran Hajah Roshamimi binti Pengiran Besar. Selain tazkirah, pelbagai pertandingan turut diadakan, termasuk pertandingan azan untuk murid lelaki Tahun 4 hingga 6, menghafaz surah untuk murid perempuan Tahun 4 hingga 6, dan persembahan oleh murid Tahun 5.
Dalam perkembangan yang sama, Persekutuan Peniaga-Peniaga Melayu Brunei (PPPMB) juga tidak ketinggalan menganjurkan majlis sambutan Israk dan Mikraj di sebuah restoran di Kampung Tungku.
Presiden PPPMB, Dr Haji Abdul Latif bin Awang Chuchu, menegaskan bahawa majlis tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rohani serta mempereratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli PPPMB dan masyarakat Islam setempat. Ceramah yang disampaikan oleh Awang Hamzah bin Haji Jali mengupas hikmah dan pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj, dengan penekanan pada pengajaran yang dapat diambil untuk memperkukuh keimanan dan ketakwaan.
Sementara di Sekolah Fairview, majlis sambutan Israk dan Mikraj diserikan dengan tayangan video mengenai perjalanan Israk dan Mikraj serta kuiz yang diadakan bagi para murid Tahun 3 hingga Tahun 6 di sekolah berkenaan. Pertandingan mewarna dan tulisan Jawi juga diadakan untuk murid Tadika hingga Tahun 2.
Hadir pada majlis tersebut, Pengarah Urusan Sekolah Fairview, Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad bin Dato Paduka Matnor, dan Ketua Pentadbiran Sekolah Fairview, Datin Paduka Hajah Fatimah binti Dato Paduka Haji Mohd Husain.
Majlis tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada para murid tentang makna dan hikmah di sebalik peristiwa tersebut. Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disempurnakan oleh Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad.