Friday, September 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sampah berselerak, syarikat kena kompaun $1,000

    Oleh Nurdiyanah R.

    BELAIT, 30 APRIL – Sebuah syarikat kesihatan dan kecantikan di Daerah Belait telah dikenakan denda kompaun $1,000 atas kesalahan membiarkan sampah sarap berselerak kerana gagal menyediakan tong sampah di belakang premis tersebut.

    Denda berkenaan dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria (JBKBS), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBKBS, kelmarin, syarikat berkenaan telah diberikan tempoh selama tujuh hari untuk menjelaskan denda kompaun tersebut dan jika didapati gagal boleh didakwa di mahkamah.

    Di bawah akta berkenaan, kesalahan membuang sampah atau sebarang kotoran di tempat awam jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan kedua; atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan individu.

    Bagi badan-badan lain atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah bab yang sama boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi daripada $2,000 bagi kesalahan pertama, dan tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan kedua, atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang daripada $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Sehubungan itu, jabatan berkenaan mengingatkan orang ramai dan syarikat-syarikat supaya membuang sampah di tempat-tempat yang disediakan dan tidak meninggalkan sebarang jenis sampah di tempat-tempat awam bagi menjaga kebersihan alam sekitar.

    Di samping itu, para pengusaha restoran dan kedai-kedai makan juga diingatkan supaya menjaga kebersihan perangkap minyak tidak membiarkan pencemaran yang boleh menyebabkan longkang kotor dan berbau.

    Sampah kelihatan berselerak di belakang premis syarikat berkenaan. – Gambar serahan Bahagian Penguatkuasaan JBKBS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda