Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Hajah Siti Arbi binti Ahmad tidak menyangka sampul yang dipilihnya membawa tuah kepadanya apabila memenangi hadiah utama berupa sebuah televisyen jenama LG 4K LED 40 inci dalam Promosi Raya Aifa 2019 pada Majlis Cabutan Akhir Promosi Raya AIFA 2019 yang berlangsung di Pusat Aifa Sdn Bhd, Tapak Perindustrian Lambak Kanan, hari ini.
Pada majlis berkenaan, seramai 28 orang pemenang bertuah yang terpilih bagi cabutan akhir membuat pemilihan sampul surat mengandungi hadiah yang akan dibawa pulang.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan Aifa Sdn Bhd, Dr Andy Lau Sie Chong, Pengurus Besar Aifa Sdn Bhd, Lily Ngo, wakil-wakil syarikat pengedar, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Aifa Sdn Bhd serta pemenang bertuah dan keluarga mereka.
Dalam cabutan akhir itu, hadiah kedua berupa televisyen pintar jenama Aifa UHD 65V4K dan PEVY UR-8404 dimenangi oleh Pengiran Haji Mohd Japar bin Pengiran Haji Jali dan hadiah ketiga iaitu pakej BMB CSV480 dimenangi oleh Awang Tamit bin Haji Mohd Yusop.
Terdahulu, Dr Andy Lau dalam kata alu-aluannya menjelaskan bahawa promosi itu merupakan cabutan bertuah sempena sambutan ke-15 tahun mereka dalam menghargai sokongan berterusan dan tindak balas positif ke atas pasaran yang memberangsangkan.
Beliau menambah bahawa Aifa Sdn Bhd sudah berada di pasaran selama 35 tahun dan bertekad untuk terus memberikan produk yang dapat memenuhi keperluan pasaran serta perkhidmatan lepas jualan yang terbaik kepada pelanggan mereka.
Beliau turut menyatakan bahawa mereka akan terus berusaha untuk melakukan yang terbaik dan menyatakan penghargaan kepada semua pihak terutama pelanggan mereka atas sokongan berterusan mereka.
Promosi Raya Aifa 2019 yang berlangsung selama kira-kira tiga bulan iaitu dariApril hingga Julai itu menerima kira-kira 28,000 kupon cabutan bertuah daripada pelanggan yang telah membeli barangan Aifa di cawangan yang sah di seluruh negara namun hanya 28 orang dipilih sebagai pemenang bertuah pada cabutan akhir berkenaan.
