Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Santuni, perkasakan golongan OKU

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Islam merupakan agama rahmah yang merentasi batas keturunan, warna kulit, bangsa mahupun kedudukan serta tidak pernah menyisihkan umatnya sama ada yang dilahirkan sempurna atau dengan kelahiran kelainan upaya.

    Untuk itu, sehebat mana seseorang itu, hakikatnya ia bukanlah penilaian utama di sisi Allah, melainkan hati yang ikhlas dan ketakwaan ke hadrat Allah SWT.

    Khatib menegaskan perkara itu dalam khutbah Jumaat hari ini bertajuk Santuni Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), sempena sambutan Hari Antarabangsa OKU pada 3 Disember setiap tahun.

    Beliau seterusnya menambah, Islam juga menganjurkan hak kesamarataan antara golongan manusia normal dan OKU, tiada unsur diskriminasi dan tiada tembok pemisah untuk mereka bergaul dan hidup bersama.

    Menurut khatib, dalam Al-Quran, Allah SWT mengizinkan golongan OKU untuk makan bersama dengan orang biasa di rumah-rumah mereka atau rumah yang lain.

    Penegasan ini, jelas khatib telah meletakkan kebersamaan OKU di tengah-tengah masyarakat, sekali gus menjadikan golongan ini saksama dan tidak boleh didiskriminasikan dalam kehidupan.

    Selain itu, Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan suri teladan dalam memberi perhatian dan keprihatinan terhadap OKU, menyantuni OKU daripada golongan para sahabat, tokoh-tokoh perawi hadis sama ada OKU pendengaran, penglihatan dan fizikal.

    Menyentuh golongan OKU di negara ini, khatib menekankan bahawa kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa dititikberatkan oleh kerajaan, selaras dengan dasar negara dan inisiatif isu sosial majlis kebangsaan di bawah pelan tindakan OKU serta komitmen antarabangsa negara di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap hak OKU.

    “Ini semata-mata memberikan peluang yang saksama untuk golongan OKU menjalin kehidupan secara inklusif di negara ini,” tegasnya.

    Dengan sumbangan kewangan bagi mereka sering diutamakan, khatib menegaskan, apa yang mereka masih perlukan ialah pemerkasaan dari segi perekonomian terutamanya bidang keusahawanan dan pekerjaan.

    Ini bagi memastikan OKU mandiri dan dapat memberikan sumbangan kepada negara, melalui pemerkasaan mereka dalam pendidikan dan latihan kemahiran yang berkualiti serta bersesuaian dengan keupayaan dan akses kepada peluang pekerjaan yang inklusif.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pengawal dari Pakistan tuntut kewarganegaraan

    SYDNEY, 18 APRIL - Perdana menteri Australia hari ini berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberikan kewarganegaraan kepada seorang pengawal keselamatan Pakistan yang cedera dalam...