Wednesday, November 13, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak Energy kini penaung Majlis Tenaga Dunia

    KUCHING, 29 MAC – Sarawak Energy secara rasmi menjadi penaung global Majlis Tenaga Dunia, sekali gus menjadikannya yang pertama dari rantau Asia Tenggara.

    Dalam kenyataan hari ini, syarikat utiliti milik kerajaan negeri Sarawak itu berkata, perkara berkenaan telah dimuktamadkan dalam majlis pemeteraian perjanjian secara maya antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili, dengan Ketua Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tenaga Dunia, Dr Angela Wilkinson.

    Menerusi persetujuan itu, Sarawak Energy yang juga antara pemaju tenaga hidro utama di Asia Tenggara, akan menyokong Majlis Tenaga Dunia dalam usaha memangkin peralihan tenaga di serata dunia.

    Pada masa sama, ini membolehkan syarikat berkenaan mendapat akses kepada rangkaian majlis yang merangkumi lebih 3,000 organisasi di lebih 90 buah negara dari segi pandangan global serta amalan terbaik berkaitan dasar tenaga, inovasi dan strategi kemampanan.

    “Sarawak Energy akan menjadi penaung pertama majlis itu dari Asia Tenggara dengan menyertai kelompok di serata Amerika, Eropah, Timur Tengah dan Asia,” katanya.

    Sementara itu, Sharbini menyifatkan peranan sebagai penaung itu akan membolehkan Sarawak Energy meninjau dan memanfaatkan rangkaian pengusaha industri tenaga global ketika terus meneroka penyelesaian peralihan tenaga bagi rantau ini.

    Beliau berkata langkah peralihan strategik kepada tenaga hidro boleh diperbaharui lebih 40 tahun lepas, membolehkan Sarawak Energy mengimbangi aspek keselamatan tenaga, kemampuan dan kemampanan, memacu pertumbuhan mampan di Sarawak dan mewujudkan asas kukuh bagi tujuan meninjau penyelesaian tenaga berkarbon rendah lain termasuk (kemudahan) solar terapung dan pengeluaran hidrogen hijau.

    “Bagi tempoh 2010 hingga 2021, kami dapat mengurangkan intensiti pelepasan grid kuasa Sarawak lebih daripada 70 peratus. Ketika dunia mempercepat usaha peralihan tenaga, Sarawak Energy pula membangunkan rancangan berkongsi sumber tenaga boleh baharu dengan negara-negara jiran melalui kesalinghubungan dengan memajukan Grid Borneo dan Grid Kuasa Asean.” – Bernama

    Gambar bertarikh 21 Mac menunjukkan Sharbini semasa menyampaikan sumbangan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda