Tuesday, May 21, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Mesyuarat tingkat kerjasama serantau

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana ASEAN (ACDM) Bersama Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea dan Mesyuarat ASEAN Disaster Resillience Platform (ADRP) ke-5 telah diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Mesyuarat-mesyuarat berkenaan telah diadakan secara berasingan di mana Mesyuarat ACDM Bersama Republik Rakyat China ke-7 telah dipengerusikan bersama oleh Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi bin Haji Muhd Jamin dan Timbalan Ketua Misi dan Kaunselor Politik Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, Wang Haitao.

    Mesyuarat itu menandakan satu langkah penting ke arah meningkatkan kerjasama serantau dalam pengurusan bencana bersama Republik Rakyat China, di mana mesyuarat telah memberikan tumpuan untuk memajukan daya tahan bencana dan pengurangan risiko bencana merentas rantau ASEAN dan China.

    Negara Anggota ASEAN yang diwakili oleh organisasi pengurusan bencana, Republik Rakyat China, Sekretariat ASEAN dan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (Pusat AHA) juga berkesempatan untuk menyemak kemajuan pelaksanaan Pelan Kerja Pengurusan Bencana ASEAN-China yang mempamerkan pencapaian dan kerjasama yang berpotensi.

    Sementara itu, Mesyuarat ACDM Bersama Jepun ke-7 juga dipengerusikan bersama oleh Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi dan Pengarah Kerjasama Antarabangsa di Biro Pengurusan Bencana, Pejabat Kabinet Jepun, Murakami Takeo.

    Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi dan Wang Haitao bergambar ramai semasa mesyuarat yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Mesyuarat itu telah mengesahkan sokongan berterusan Jepun untuk aktiviti ACDM dengan menggalakkan kerjasama antara entiti awam dan swasta ASEAN bersama Jepun dalam pengurusan bencana.

    Kerjasama yang telah lama terjalin itu berfungsi sebagai asas untuk memupuk hubungan yang kukuh dan saling memanfaatkan antara ASEAN dan Jepun, terutamanya dalam bidang pengurusan bencana melalui projek semasa dan seterusnya untuk membuka jalan bagi beberapa usaha atau projek pada masa yang akan datang.

    Perbincangan kemuncak mesyuarat berkenaan termasuk beberapa cadangan aktiviti baharu seperti pelaksanaan Pelan Kerja Pengurusan Bencana ASEAN-Jepun.

    Antara cadangan yang diusulkan ialah sokongan Jepun yang berkemampuan dalam pembangunan Program Kerja AADMER 2026-2030, sebagai pendekatan yang progresif dalam kerjasama pengurusan bencana serantau.

    Seterusnya, Mesyuarat ACDM Bersama Republik Korea ke-6 juga dipengerusikan bersama oleh Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi dan Ketua Pengarah, Biro Kerjasama Pentadbiran Antarabangsa, Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan, Republik Korea, Park Yung-Suh, yang menekankan komitmen yang berterusan terhadap kerjasama serantau dalam pengurusan bencana.

    Semasa mesyuarat dijalankan, beberapa kemajuan telah dikemukakan terutamanya mengenai dengan inisiatif atau projek yang telah dilaksanakan iaitu Program Pembinaan Kapasiti Pengurusan Risiko Bencana untuk Projek Negara Anggota ASEAN (D-CAB) dan Piawaian dan Persijilan ASEAN untuk Pakar Pengurusan Bencana (ASCEND).

    Kedua-dua projek berkenaan merupakan usaha kerjasama antara ASEAN dan Republik Korea bagi memperkukuh pengurangan risiko bencana di rantau ini.

    Secara menyeluruh, ketiga-tiga mesyuarat itu telah mengesahkan komitmen negara anggota ASEAN bersama Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea sebagai usaha pengurusan bencana secara kolaboratif.

    Ia juga telah mempamerkan kepentingan perpaduan dan kerjasama dalam membina rantau yang lebih berdaya tahan terhadap bencana.

    Mesyuarat ADRP ke-5 turut diadakan, di mana ahli mesyuarat telah berkesempatan untuk bertukar-tukar pandangan dan pengalaman yang menumpukan kepada aktiviti berkaitan pengurusan bencana oleh badan sektor ASEAN yang berkaitan.

    Mesyuarat berkenaan telah memberikan gambaran menyeluruh mengenai usaha yang berterusan dalam bidang yang diketengahkan melalui kerjasama dan penambahbaikan selanjutnya.

    Ahli mesyuarat juga membincangkan Ulang Tahun ASEAN ke-20 bagi memperingati kejadian Tsunami Lautan Hindi yang mencerminkan daya tahan dan kemajuan rantau ini dalam mengemudi tindak balas dan pemulihan bencana sepanjang dua dekad yang lalu.

    Mesyuarat ADRP ke-5 telah mengesahkan komitmen tidak berbelah bahagi daripada negara anggota ASEAN dan badan sektor ASEAN ke arah membina rantau yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan dalam menghadapi cabaran dan ancaman yang semakin berkembang.

    Melalui usaha kolaboratif dan pertukaran pengalaman, platform itu akan terus berfungsi sebagai mekanisme penting untuk memupuk kerjasama, inovasi dan strategi pengurusan bencana yang berkesan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...