BINTULU, 21 SEPT – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini berkata, negeri itu melabur lebih RM10 bilion untuk menjadikan Bintulu sebagai hab gas masam dengan pembangunan Sistem Pemindahan Gas Masam Bersepadu Sarawak (SISGES) di Tanjung Kidurong.
Beliau berkata pembangunan itu yang berada dalam Taman Perindustrian Petrokimia (PIP) akan selari dengan cita-cita Sarawak untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030.
“Gas masam dahulunya dianggap tidak menguntungkan jika dibangunkan kerana prosesnya mahal tetapi teknologi baharu telah mengurangkan kos itu dengan ketara,” katanya pada majlis pecah tanah Fasa Satu hab gas masam SISGES untuk Loji Gas Pesisir Rosmari-Marjoram Bintulu Shell di Tanjung Kidurong.
Gas masam ialah gas asli atau sebarang gas lain yang mengandungi sejumlah besar hidrogen sulfida.
Dalam pada itu, Abang Johari, optimis dasar laut pelantar benua Sarawak masih mempunyai rizab gas yang besar walaupun ramalan awal yang dibuat pada awal 1990an mendapati gas Sarawak hanya boleh bertahan selama 20 tahun lagi.
“Sudah lebih 30 tahun berlalu, semakin banyak medan minyak dan gas ditemukan di luar pesisir Sarawak, yang terbaharu ialah enam medan di lima blok – SK306, SK411, SK313, SK301B dan SK315,” tambahnya.
Beliau juga berkata industri minyak dan gas di rantau ini masih kekal menarik dalam kalangan pelabur selepas minyak ditemukan di Miri lebih seabad lalu.
Beliau berkata penubuhan ibu pejabat Shell Malaysia Upstream di Miri Times Square, yang diharapkan dibuka tidak lama lagi, adalah satu lagi bukti keyakinan dan hubungan syarikat itu dengan kerajaan Sarawak.
“Bagaimanapun, kestabilan politik dan dasar kukuh Sarawak tidak boleh diketepikan sebagai faktor tambahan bagi pelabur seperti Shell untuk datang ke negeri ini bagi mengembangkan perniagaan mereka. Jika Shell buat duit, Sarawak juga akan buat duit kerana kita mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” kata beliau.
“Sejak 2019, pendapatan Sarawak melalui SST berjumlah RM13 bilion dan bukannya 5 peratus royalti yang biasa kita terima untuk minyak dan gas,” katanya.
Sarawak komited untuk bekerjasama dengan Shell dan Petronas bagi memastikan kejayaan Rosmari-Marjoram dan inisiatif hab gas masam SISGES dan negeri itu mengharapkan lebih banyak kerjasama di antara Shell dan entiti minyak dan gas negeri, Petros.
Selain minyak dan gas, Abang Johari berkata Sarawak juga berminat dengan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang mana tiga takungan telah dikenal pasti di luar pesisir rantau ini. – Bernama