Thursday, February 27, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak perlukan tenaga kerja mahir sokong AirBorneo

    KUCHING, 26 FEB – Sarawak memerlukan tenaga kerja berkemahiran untuk menyokong penubuhan syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo.

    Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tenaga kerja berkebolehan amat penting bagi memastikan kelancaran operasi syarikat penerbangan itu.

    “Kita bukan sahaja memerlukan juruterbang tetapi juga jurutera untuk menyenggara enjin pesawat. Kita juga memerlukan petugas pengendalian darat dengan teknologi terkini untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar,” katanya.

    Abang Johari berkata demikian dalam ucapan beliau pada Majlis Konvokesyen Kesembilan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini hari ini.

    Kerajaan Sarawak pada 12 Februari lalu telah memeterai perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group (MAG), sekali gus memuktamadkan pengambilalihan MASwings yang kini dinamakan sebagai AirBorneo.

    Sementara itu, Abang Johari berkata alasan Sarawak mahu memiliki sebuah syarikat penerbangan adalah kerana negeri ini terletak di pulau Borneo yang hanya boleh diakses ke dunia luar melalui udara dan laut.

    “Kita tidak boleh membina jambatan merentasi Laut China Selatan dari Kuching ke Singapura atau Kuala Lumpur. Itulah sebabnya kita memerlukan ‘jambatan itu’ yang dipanggil AirBorneo,” katanya. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda