KOTA KINABALU, 6 OGOS – Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah menyasarkan beberapa negara yang berpotensi menjadi rakan dagangan dan pasaran industri bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.
Menterinya Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata negara berkenaan ialah Jerman, Dubai, Korea Selatan dan Thailand.
“Negara berkenaan dijangka menjadi pengimport produk Sabah terutamanya produk makanan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk James Ratib (UPKO-Sugut) yang ingin tahu negara-negara baharu yang disasarkan berpotensi menjadi rakan dagangan dan pasaran industri di Sabah.
Madius berkata selain itu, usaha berterusan juga dijalankan untuk mengenal pasti negara yang berpotensi untuk mempromosikan pelaburan melalui agensi di bawah kementerian berdasarkan jenis industri. Katanya untuk industri kelapa sawit dan logistik, usaha ditumpukan kepada Indonesia, Brunei, Taiwan, Dubai, Eropah, Amerika Syarikat, dan New Zealand.
“Manakala bagi industri minyak dan gas, negara yang disasarkan ialah Rusia, dan industri perabot berasaskan kayu pula disasarkan kepada Jepun dan Vietnam,” katanya.
Beliau berkata kementerian telah melaksanakan beberapa program penggalakan eksport melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian Dan Penyelidikan (DIDR) untuk meningkatkan sektor perdagangan negeri.
Katanya antara program tersebut adalah penyertaan dalam ekspo antarabangsa seperti Gulfood di Dubai, Foodex (Jepun), Cosmobeauty Seoul (Korea Selatan), Thaifex (Thailand) dan Malaysia Fest di Singapura.
“Hasil pencapaian penyertaan dalam ekspo tersebut amatlah baik di mana setakat bulan Jun 2019, para IKS yang menyertainya telah berjaya mendapat jualan dan potensi jualan berjumlah RM89.3 juta yang melibatkan 395 kontena setahun,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, Datuk Peter Anthony berkata peruntukan RM2 juta telah disediakan untuk menjalankan kajian cadangan pembinaan landasan kereta api Kota Kinabalu-Kudat.
Kajian itu akan dijalankan pada tahun depan dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 12 bulan, katanya menjawab soalan Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu). “Pada masa yang sama tindakan susulan serta persediaan awal telah dijalankan oleh pihak Jabatan Keretapi Negeri Sabah sejak cadangan pembinaan landasan itu diumumkan,” katanya. – Bernama