Thursday, November 28, 2024
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sate sajian wajib sarapan di Muar

    MUAR – Bukan sesuatu yang pelik jika melihat sate dihidangkan sebagai menu sarapan pagi di Muar.

    Malah, sajian itu menjadi antara makanan wajib bagi penduduk tempatan dengan terdapat lebih 10 pilihan kedai sekitar Jalan Majidi di sini yang menerima jolokan ‘lorong sate’ dibuka seawal 7:30 pagi bagi memenuhi selera pelanggan.

    Jika di Kuala Lumpur misalnya, sate dinikmati pada sebelah petang atau malam, namun di Bandar Maharani suasana berbeza apabila aroma daging perap yang dibakar di atas dapur arang pada awal pagi menggamit selera pejalan kaki yang melalui deretan kedai di situ.

    Mula beroperasi pada 2015, pemilik restoran Gubok Ann Sate Warisan, Mohd Afzan Mohd Atan menggunakan resipi tradisi keluarga yang diwarisi daripada datuknya, Hussin Said yang memulakan perniagaan sate pada era 70an di Larkin, Johor. 

    Beliau yang merupakan generasi ketiga keluarga mengusahakan perniagaan itu, selain pakciknya yang turut membuka restoran Satay Warisan berdekatan.

    Hidangan sate yang mempunyai pelbagai jenis daging seperti ayam yang dimasak dengan cara diperap terlebih dahulu dan dibakar di atas dapur arang. – Bernama
    Salah seorang pemilik restoran di kawasan tersebut yang menghidangkan sate sebagai sarapan pagi dengan resipi tradisi keluarganya. – Bernama
    Suasana restoran yang menghidangkan sate sebagai sarapan pagi walaupun secara kebiasaannya dagangan sate ini dijual pada waktu petang atau malam. – Bernama

    “Keluarga saya memang kebanyakannya berniaga sate kerana dari kecil kami telah didedahkan dengan cara pembuatannya, malah merasa rugi jika tidak meneruskan resipi peninggalan arwah datuk kerana memang hasrat kami untuk pengunjung turut dapat merasai keenakan sate warisan keluarga,” katanya ketika ditemui Bernama.

    Mohd Afzan, 39, berkata meskipun terdapat banyak restoran sate di Jalan Majidi namun setiap kedai menyediakan rasa dan keunikan tersendiri yang terletak pada tekstur daging dan kuahnya.

    Berkongsi proses penyediaan juadah itu, beliau berkata daging akan diperap semalaman menggunakan bahan asas seperti serai, bawang, halia dan rempah istimewa sebelum dibakar keesokannya.

    “Penyediaan sate agak memakan masa dan renyah kerana perlu menunggu semalam untuk memastikan perapan daging dapat meresap sempurna kerana jika tidak, rasanya hambar dan tidak begitu enak,” katanya yang menjual hampir 2,000 cucuk sate sehari.

    Selain sate ayam, daging dan perut yang dijual pada harga RM1 secucuk, dan Restoran Gubok Ann Sate Warisan turut menyediakan makanan yang sinonim di daerah itu iaitu mee bandung, soto dan lontong kering.

    Pemilik gerai sate yang terletak di Gerai Seni bersebelahan lorong sate, Nur Aina Adnan berkata beliau juga menyajikan resipi turun-temurun keluarga daripada datuknya, Abdul Aziz Long yang mahir membuat makanan itu sejak menetap di Klang sekitar 1970.

    “Bukan sahaja sate, tetapi kami juga membuat nasi himpit sendiri yang dihidangkan bersama timun dan bawang, serta menggunakan kacang berkualiti untuk kuah,” katanya yang menerima tempahan sate melalui perkhidmatan e-hailing sekitar 200 cucuk sehari. 

    Jelas anak muda berusia 26 tahun itu, pelbagai promosi dilakukan termasuk di media sosial untuk memperkenalkan sate di Muar dan sering menerima kunjungan daripada masyarakat di luar daerah itu.

    Bagi penduduk tempatan, Kamariah Abdul Aziz, sate menjadi pilihannya sebagai juadah harian kerana menggemari kombinasi daging, nasi himpit dan kuah kacang yang sedap dan mudah didapati. 

    “Sebelum pergi kerja saya akan singgah di sini hampir setiap pagi untuk membeli sate kerana tidak lengkap hari tanpa menikmati juadah ini,” katanya yang bekerja di pasar raya di pekan Muar. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda