LEVERKUSEN, 27 JULAI – Seorang maut dan 16 yang lain cedera hari ini dalam satu letupan di sebuah tapak industri kimia di Leverkusen, Jerman, kata operator tapak ketika penduduk diminta tinggal dalam rumah disebabkan asap hitam yang berkepul-kepul naik dari kawasan itu.
Letupan berlaku pada kira-kira 9:40 pagi ‘atas sebab-sebab yang tidak diketahui’, kata operator Chempark Currenta.
Sekurang-kurangnya dua mangsa yang cedera berada dalam keadaan serius, dan empat pekerja masih hilang, tambahnya.
Letupan mendorong aplikasi amaran NINA menghantar amaran ‘risiko tertinggi’ kepada penduduk, memberitahu mereka supaya menutup pintu dan jendela rumah mereka dan membawa nombor kecemasan bersama mereka sepanjang masa.
Currenta berkata kejadian berlaku di tapak pelupusan dan kawasan pembakaran bahan buangan Chempark di daerah Buerrig, Leverkusen.
Kawasan itu terasing daripada taman perindustrian utama yang menempatkan pelbagai syarikat kimia termasuk Bayer, Lanxess dan Evonik Industries.
“Kami berasa amat sedih dengan kemalangan tragik ini dan kematian seorang pekerja,” kata Currenta dalam satu kenyataan, menambah ‘usaha menyelamat akan diteruskan’ untuk mencari empat pekerja yang hilang.
Bandar Leverkusen berkata di Facebook letupan mencetuskan kebakaran di tangki simpanan pelarut yang mengambil beberapa jam untuk dipadamkan, dengan anggota bomba dari Cologne berhampiran dipanggil untuk membantu usaha tersebut.
Ramai polis, anggota bomba dan anggota menyelamat dihantar ke tempat kejadian, serta pakar pengesan pencemaran di tengah kebimbangan asap yang datang dari tapak mungkin menimbulkan risiko kesihatan. – AFP
