Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Warga Negara Brunei Darussalam kini boleh mengunjungi beberapa buah tempat menarik dan tarikan pelancong di Arab Saudi apabila negara itu memberikan peluang kepada para pelawat antarabangsa buat kali pertama untuk berkunjung ke negara berkenaan dengan memperkenalkan program visa baharu.
Program yang mula diperkenalkan pada 27 September lalu itu membolehkan pengunjung antarabangsa termasuk pengunjung dari Brunei untuk berkunjung ke negara itu bagi tujuan pelancongan.
Pencapaian tersebut mencatatkan mercu tanda bersejarah bagi Arab Saudi selaras dengan wawasan 2030 negara itu untuk membangunkan sebuah masyarakat yang bersemangat, ekonomi yang berkembang pesat dan tanah air yang bercita-cita tinggi, jelas Duta Besar Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Emad bin Abdulaziz bin Saad Al Muhanna dalam ucapannya pada Sidang Media mengenai Visi Pelancong Arab Saudi di Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini.
Visa Baharu itu memberikan peluang kepada mereka untuk melihat sendiri manifestasi nilai-nilai budaya masyarakat Arab Saudi dalam kehidupan seharian mereka dan pada masa yang sama, melawat ke beberapa buah tapak warisan unik di rantau Ad-Diriyah di Riyadh, rantau Al Ula termasuk Madain Saleh serta monumen-monumen di tapak-tapak bersejarah di Jeddah.
Beliau juga menyatakan bahawa Arab Saudi sedang berusaha untuk membangunkan destinasi pelancongan yang baharu seperti bandar raya masa hadapan, Neom, bandar raya kebudayaan Al-Quddiya berhampiran dengan Riyadh dan beberapa projek di Laut Merah.

Beliau turut menyatakan bahawa Arab Saudi menyasarkan untuk menarik seramai 100 juta orang pelancong setahun dari dalam dan luar negara menjelang 2030 dan mengalu-alukan para pelawat dari seluruh dunia untuk melawat negara berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Misi dan Ketua Seksyen Konsular, Kedutaan Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam, Nouaf Al Bedaiwi ketika menerangkan mengenai Program Visa Pelancongan baharu itu, menyatakan bahawa negara-negara dunia dibahagikan kepada dua kumpulan dengan kumpulan pertama yang mengandungi sebanyak 49 buah negara termasuk Brunei boleh mendapatkan visa berkenaan menerusi permohonan atas talian menerusi laman sesawang www.scth.gov.sa atau semasa ketibaan di enam lokasi masuk Arab Saudi iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh, Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul-Aziz, Jeddah; Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd, Dammam; Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdul-Aziz, Madinah; King Fahd Causeway bersama Bahrain dan Al Bathaa Land Port bersama Emiriah Arab Bersatu.
Beliau menerangkan bahawa bagi kumpulan pertama itu, visa pelancong mereka akan mengambil masa lima hingga 30 minit untuk diproses dan visa yang dikeluarkan itu adalah bagi kemasukan berulang-ulang dan sah bagi tempoh setahun, permit kediaman adalah bagi 90 hari dan visa pelancong itu dikeluarkan kepada semua individu yang berusia 18 tahun dan ke atas, manakala bagi pelancong yang di bawah usia 18 tahun, ha-rus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga.
Sementara itu, bagi kumpulan kedua iaitu negara-negara lain di dunia dan tidak termasuk dalam kumpulan 49 buah negara berkenaan, mereka boleh mendapatkan visa pelancong mereka menerusi kedutaan atau misi-misi luar negara Arab Saudi di mana mereka perlu memenuhi syarat-syarat tertentu.
Beliau menyatakan bahawa pemegang visa pelancong dibenarkan untuk mengerjakan umrah dan melawat ke mana-mana tempat di Arab Saudi kecuali Mekah dan Madinah bagi pelancongan bukan Islam.