LONDON, 24 Feb – Wayne Rooney akhirnya bersuara bahawa dia akan kekal bersama Manchester United berikutan spekulasi berterusan bahawa dia mungkin membuat perpindahan mewah ke Liga Super China (CSL).
Beberapa laporan media British menyatakan bahawa ejen Rooney, Paul Stretford, telah berada di China untuk berbincang dengan beberapa buah kelab yang berminat, tetapi kapten United dan England tersebut menegaskan bahawa dia akan kekal di Old Trafford.
“Meskipun dengan minat yang ditunjukkan oleh kelab-kelab lain, yang mana saya hargai, saya mahu mengakhiri spekulasi dan berkata bahawa saya kekal di Manchester United,” kata pemain berusia 31 tahun itu.
“Saya harap dapat memainkan peranan penuh dalam membantu pasukan dalam perjuangan kami untuk meraih kejayaan.
“Ia adalah tempoh yang menarik di kelab dan saya mahu menjadi sebahagian daripadanya,” tambah Rooney, yang mana kontraknya akan berakhir pada pertengahan 2018.
Spekulasi mengenai masa depan penyerang berpengalaman itu semakin menjadi-jadi dalam beberapa minggu kebelakangan ini dengan Rooney kerap diketepikan oleh pengurus United, Jose Mourinho.
Beberapa buah kelab China menyatakan minat mereka untuk mendapatkan khidmat Rooney, penjaring terbanyak sepanjang masa United, termasuk Guangzhou Evergrande, Beijing Guoan, Jiangsu Suning dan Tianjin Quanjian.
Media British telah melaporkan bahawa Rooney mungkin memperoleh sehingga AS$1 juta seminggu, menjadikannya pemain dengan gaji termahal di dunia, tetapi kenyataan Rooney sekurang-kurangnya mengakhiri perdebatan mengenai masa depannya menjelang tutupnya jendela perpindahan CSL Selasa depan. – AFP