“Saya makan biskut tanpa gula dan minum air tawar sahaja sekarang.”
Begitu keadaan pelakon veteran, Maimunah Ahmad, 74, atau lebih dikenali sebagai Mak Jah yang dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor, sejak Khamis lalu, berikutan masalah kencing manis atau diabetes.
Dramatis yang terkenal dengan watak antagonis itu berkata, buat masa ini, dia perlu dipantau doktor pakar dan menjalani pelbagai rawatan susulan di hospital.
Mak Jah yang terkenal dengan lakonannya menerusi filem Mami Jarum itu menjelaskan, dia perlu berhati-hati dalam soal pemakanan. Sehubungan itu, Mak Jah perlu mengelak daripada mengambil makanan atau minuman bergula.
“Daripada segi makanan, saya perlu berpantang sekarang. Makanan bergula langsung tidak boleh disentuh. Selain itu, saya perlu ambil susu diabetes dalam fasa pemulihan sekarang.
“Doktor sudah ambil darah untuk mendapatkan bacaan gula saya pada tahap mana. Jadi, setakat ini, Alhamdulillah tiada masalah serius,” katanya.
Mak Jah menzahirkan ucapan terima kasih buat semua pihak yang masih sudi mengambil berat dan mendoakan kesejahteraannya.
Minggu lalu, Mak Jah dibawa ke hospital selepas anaknya mendapati dia tidak bermaya. Pelakon itu kemudian disahkan mengalami paras diabetes yang tinggi dan perlu dirawat sementara waktu.
Pada 2016, Mak Jah pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menghidap kanser rahim tahap pertama sebelum disahkan bebas daripada penyakit itu pada April 2019. Dalam proses rawatan kanser, Mak Jah dilaporkan tidak aktif dalam dunia lakonan selama empat tahun.
Disebabkan penyakitnya, pelakon drama Tak Sempurna Mencintaimu ini mengelak pergi ke tempat tumpuan ramai, apatah lagi, dia berisiko tinggi dijangkiti virus COVID.
“Kalau tengok tempat ramai orang, saya lebih suka duduk dalam kereta. Iyalah, kita ada penyakit, takkanlah nak tambah penyakit lagi,” katanya.
Berstatus ibu tunggal dengan tiga cahaya mata. Mula berlakon secara serius melalui drama Sri Panggung terbitan Serangkai Filem pada 1987. – Agensi