Pelawak Zizan Razak terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit selepas menjadi mangsa penipuan daripada beberapa pihak yang hanya mengambil kesempatan terhadap dirinya.
Bukan sahaja penipuan membabitkan urusan perniagaan, Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak, 40, turut memberitahu ada juga individu yang menghilangkan diri selepas diberikan pinjaman kewangan.
“Yang scam itu bukan baju Melayu tapi perniagaan sebelum-sebelum ini. Ada yang nak pinjam duit, ada juga yang nak jalinkan perniagaan dengan saya.
“Tapi bila minta bayaran semula mereka terus hilang, nilai mencecah jutaan juga. Untuk orang seperti saya nilai itu memang besar,” katanya kepada mStar.
Zizan berkongsi perkara itu ketika ditemui di program Tayangan Perdana Ramadan Raya Astro 2025 pada Khamis lalu.

Sementara itu, Zizan memberitahu mereka yang liat membayar hutang itu merupakan kenalan yang dikenali.
“Yang rapat pun ada, tak rapat pun jadi rapat sebab duit. Saya harap apa yang berlaku bukan dengan niat tapi tidak tahulah bila telefon tidak diangkat berbeza dengan awal-awal berkenalan dan mengajak berniaga.
“Saya tetap bertanya tapi tidak mengemis. Dari kejar macam pengemis lebih baik saya memilih terus bekerja kerana Allah masih beri rezeki dan peluang,” ujarnya.
Menurut Zizan lagi, dia tidak menyimpan dendam sebaliknya membiarkan Allah SWT membalas perbuatan mereka itu.
Malah dia percaya individu yang mengambil kesempatan terhadap dirinya tidak akan mampu hidup dengan tenang.
“Alhamdulillah saya masih tersenyum, mungkin ada kesilapan dari saya punca berlaku perkara sebegini, mungkin juga Allah nak uji saya dan dia.
“Saya lihat orang seperti ini tidak senang pun, kalau senang pun tak tenang. Saya tahu tidur mereka tak lena,” katanya. – Agensi