Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saya takkan jumpa lelaki sebaik Badrul – Norhayati

    Balu kepada aktor Allahyarham Badrul Muhayat iaitu Norhayati Zulkapli, 50, menerima ketentuan Ilahi dengan berlapang dada, biarpun banyak impian tidak kesampaian.

    Sungguhpun baru enam bulan mendirikan rumah tangga, Norhayati berkata, ia adalah tempoh yang amat berharga buatnya kerana dapat mengenali insan penyayang seperti Allahyarham Badrul.

    “Arwah impikan buat majlis resepsi perkahwinan pada Disember depan.

    “Jika tak jadi, arwah juga merancang mengadakan majlis resepsi sempena ulang tahun pertama pada 18 April tahun hadapan.

    “Arwah nak buat juga walaupun ramai cakap tak payah kerana ini bukan perkahwinan pertama. Banyak impian kami tidak kesampaian, termasuklah menunaikan umrah bersama.

    Norhayati bersyukur mengenali dan sempat melayari hidup bersama arwah Badrul selama enam bulan. – mStar

    “Tak mengapa, Allah beri kesempatan kepada saya hidup bersamanya walaupun hanya enam bulan.

    “Walaupun singkat, saya sangat hargai. Jujurnya, saya sangat terasa kehilangan arwah,” katanya kepada BH Online.

    Menceritakan keperibadian arwah Badrul yang meninggal dunia dalam tidur di sebuah inap desa di Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam, Norhayati berkata, arwah sangat menyayanginya.

    “Walaupun saya pernah dengar orang bercakap buruk mengenainya, tapi arwah benar-benar berubah selepas saya mengenalinya.

    “Arwah romantik, ‘soft spoken‘ dan penyayang. Beliau juga sangat pembersih dan ringan tulang di rumah.

    “Ada masanya saya merasakan arwah pula yang menjaga saya. Arwah selalu mahu berikan yang terbaik dan tak mahu susahkan saya,” katanya.

    Justeru, Norhayati berkata, arwah Badrul tiada galang gantinya kerana keistimewaan yang dimiliki.

    “Saya takkan jumpa lelaki sebaik arwah, tiada tolok bandingannya. Jadi, saya tetap bersyukur dapat mengenali dan berada di sisinya walaupun singkat.

    “Kami tak pernah berenggang dan selalu bersama,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda