Monday, April 28, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Scha Al-Yahya masuk kelas berlakon semula

    Pelakon dan pengacara, Scha Al-Yahya, 41, mengakui sedikit kekok untuk kembali berlakon filem selepas sekian lama menyepi.

    Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya yang tampil dengan filem terbaru, Telaga Suriram berkata, dia membuat persiapan awal dengan mengikuti kelas lakonan sebelum memulakan penggambaran, menurut laporan Harian Metro.

    “Tiga hingga empat minggu sebelum mula proses penggambaran, saya ikuti kelas lakonan bersama Ellie Suriaty. Di set penggambaran, saya berlakon dalam babak bersama Ellie, jadi tiada rasa kekok bekerjasama dengannya. Dengan watak polis yang saya bawakan, saya ingin memastikan ia tidak kelihatan stereotaip.

    “Bagi saya, watak polis saya bawakan pada era 80-an tidak jauh beza dengan perwatakan polis zaman sekarang. Dalam filem ini, saya bawakan watak polis yang tidak memegang pistol.

    “Jika dulu, ia sangat mengagumkan melihat wanita memegang jawatan sebagai inspektor. Saya rasa ia memberi inspirasi dari perspektif yang berbeza,” katanya.

    Pada masa yang sama, dia tidak menafikan rasa gementar kembali ke set lakonan lebih-lebih lagi apabila perlu bergandingan dengan barisan pelakon hebat.

    “Saya akui, pada mulanya memang terasa sedikit gerun. Namun saya ambil nasihat Ellie secara positif. Dia pernah berpesan, apabila kita melangkah ke set penggambaran, kita tidak membawa sebarang status. Kita harus bertanggungjawab hidupkan watak itu.

    “Sebenarnya, bekerja dengan pelakon berprofil tinggi ini tidak sesukar yang disangka. Mereka sangat profesional dalam menyampaikan watak masing-masing. Secara tidak langsung, ia turut memudahkan kerja pasukan produksi,” katanya.

    Menurut Scha, dia agak memilih untuk berlakon filem disebabkan kekangan masa serta komitmen lain dalam jadualnya.

    “Mungkin selepas ini, jika ada watak dan skrip sesuai, saya pasti teruja untuk menerimanya. Namun, saya lebih selesa melalui proses ‘casting’ terlebih dulu.

    “Saya faham pengarah dan pelakon lain mungkin ada perasaan kurang yakin kepada saya yang kurang penampilan di layar perak. Jadi, proses ini penting untuk menilai sama ada saya benar-benar sesuai atau tidak dengan watak yang ditawarkan,” katanya. – Agensi

    Scha Al-Yahya akui gerun bergandingan dengan barisan pelakon hebat. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda