BERLIN, 25 JAN – Jerman bakal menyaksikan pemodenan terbesar sektor perindustriannya sejak akhir abad ke-19 selepas menangani krisis tenaga semasa, kata Canselornya, Olaf Scholz baru-baru ini, lapor Sputnik.
“Inilah projek yang belum pernah berlaku sebelum ini, pemodenan terbesar perindustrian di Jerman, mungkin sejak fasa besar perindustrian dan pertumbuhan di Jerman pada akhir abad ke-19. Dalam tempoh hampir 22 tahun banyak yang akan berubah,” katanya di Dewan Perindustrian dan Perdagangan Jerman (DIHK) sempena ulang tahun penubuhannya.
Scholz membentangkan rancangan pemodenan itu semasa negara berkenaan menangani krisis tenaga semasa dengan jayanya. Antara pencapaian lain adalah kejayaan Jerman mengelak kemelesetan yang teruk, yang bertentangan dengan beberapa unjuran selain bebas daripada sumber tenaga Rusia.
Jerman akan meningkatkan pengeluaran elektrik dan hidrogennya untuk mencapai sara diri dan mendapatkan kejayaan besar dalam inovasi serta pemodenan perindustrian pada masa hadapan, menurut canselor itu. EU berhadapan krisis tenaga yang besar dan bergelut untuk memastikan industrinya berjalan selepas kemelesetan ekonomi global selain operasi ketenteraan Rusia di Ukraine. Krisis di Ukraine dan sekatan terhadap Rusia menyebabkan gangguan dalam rantaian bekalan dan peningkatan inflasi di seluruh dunia. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/01/P13-3a-web-SCHOLZ_26012023.jpg)