Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    School 2017 kembali cetus fenomena baru

    ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

     

    TERKENAL sebagai drama rantaian Korea popular bermula dengan tayangan siri School 1 pada tahun 1999.

    Namun populariti rantaian drama ini berterusan menjadi satu fenomena, ketika School 2013 ditayangkan di mana ia menggandingkan dua orang pelakon lelaki Korea yang berwajah tampan iaitu Lee Jong-Suk dan Kim Woo-Bin sehingga berjaya mengumpulkan jutaan penonton.

    Bahkan kejayaan itu boleh dikatakan diraih secara berterusan setelah siri drama Who Are You: School 2015 ditayangkan walaupun ia jelas berbeza dengan School 2013 di mana siri tersebut lebih menumpukan kepada kehidupan kisah cinta di antara para pelajar.

    Kini muncul pula School 2017 yang juga turut dipercayai akan dapat kembali menarik minat di kalangan para penonton yang memang cukup gemar untuk menonton drama-drama Korea yang menampilkan elemen romantik.

    Barisan pelakon yang membintangi siri drama School 2017 ini adalah terdiri daripada Kim Se Jeong, Kim Jung-Hyun, Jang Dong-Yoon, Ro Woon, Seol In-A dan ramai lagi.

    Barisan pelakon yang membintangi siri drama School 2017.
    Barisan pelakon yang membintangi siri drama School 2017.

    Pada dasarnya, siri drama ini mengisahkan mengenai Ra Eun-Ho lakonan Kim Se-Jeong yang merupakan seorang pelajar sekolah menengah berusia 18 tahun.

    Prestasi pelajar yang cerah itu merosot secara tiba-tiba setelah dituduh dengan pelbagai tuduhan yang negatif.

    Di samping itu, Ra Eun-Ho juga menyimpan hasrat untuk meneruskan pengajian di peringkat universiti demi meneruskan cita-citanya untuk menjadi seorang kartunis.

    Bersesuaian dengan peningkatan usia, Ra Eun Ho juga turut tidak terlepas untuk menyimpan impian bertemu dengan seorang mahasiswa lelaki yang tampan sekaligus menjadi pasangan kekasih.

    Sementara Hyun Tae Woon lakonan Kim Jung Hyun pula adalah seorang remaja yang dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kaya.

    Sebelum ini Hyun Tae Woon hanya menerima pendidikan di Amerika Syarikat dan terkenal dengan sifat nakal sehingga mencetuskan satu kejutan budaya tatkala berpindah dan meneruskan pengajian di sekolah menengah di Korea Selatan.

    Sifat berlagak yang dimiliki oleh Hyun Tae Woon semakin berleluasa dan tidak dapat diawasi oleh para guru memandangkan ayah remaja nakal itu adalah pemegang saham terbesar di sekolah menengah itu.

    Manakala, Song Dae-Whee lakonan Jang Dong Yoon pula merupakan seorang pelajar yang dilahirkan dalam lingkungan keluarga yang kurang berkemampuan.

    Walaupun kurang berkemampuan, ternyata Song Dae-Whee adalah merupakan seorang pelajar cemerlang dan cukup mudah bergaul dengan sesiapa sahaja.

    Pertemuan di antara para pelajar yang memiliki sifat dan latar belakang yang berbeza itu setentunya mewujudkan pelbagai kisah yang dihadapi oleh mereka dan perkara tersebut setentunya akan anda hanya ketahui sekiranya menonton siri drama School 2017 sehingga ke penghujungnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda