Thursday, October 17, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    School Green Day tingkatkan kesedaran perubahan iklim

    KUALA BELAIT, 16 OKT – Seramai 100 pelajar dari Sekolah Menengah Chung Hua (CHMS), Sekolah St John dan Sekolah St James telah mengambil bahagian dalam Program School Green Day di CHMS Kuala Belait.

    Program yang ditaja oleh Gleneagles Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan dikendalikan oleh Curious Mind itu bertujuan mendidik pelajar mengenai perubahan iklim, kelestarian dan kesannya terhadap lautan.

    Program tersebut berusaha untuk membina generasi yang lebih prihatin terhadap alam sekitar dengan memberikan pelajar-pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi tentang pengetahuan mengenai punca, kesan dan penyelesaian kepada perubahan iklim, serta menggalakkan amalan kelestarian. Pelajar juga didorong bagi menyebarkan ilmu itu kepada keluarga mereka, menjadikan mereka ejen perubahan dalam komuniti.

    Menurut Pengurus Komunikasi Korporat dan Perhubungan Pelanggan Gleneagles JPMC, Dayang Rusydina binti Haji Junaidi, “Gleneagles JPMC telah memulakan langkah kelestarian sebagai sebahagian daripada amalan dalaman kami. Kami sedar akan tanggungjawab untuk memimpin dengan teladan, termasuk pengurangan sisa di hospital. Melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat.”

    Sepanjang dua hari program berlangsung, pelajar diperkenalkan dengan asas perubahan iklim, termasuk faktor penyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau.

    Mereka juga mengambil bahagian dalam aktiviti seni menggunakan kertas kitar semula untuk menghasilkan mural yang menyampaikan mesej penting tentang menjaga lautan.

    Program tersebut turut menekankan keperluan mendesak bagi amalan penggunaan bertanggungjawab, memandangkan Brunei menduduki tempat kedua di ASEAN dalam penghasilan sisa per kapita.

    Bengkel mengenai penggunaan plastik secara bertanggungjawab dan fesyen lestari juga diadakan, di mana pelajar diajar cara mengitar dan menggunakan semula bahan plastik yang telah digunakan serta memahami kesan negatif sisa terhadap alam sekitar.

    Memasuki tahun kedua penganjurannya, Program School Green Day disokong oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Majlis Perubahan Iklim Negara Brunei dan Kementerian Pendidikan. Program tersebut telah melibatkan 10 institusi tahun ini dengan sokongan penaja platinum, Kolej Cosmopolitan dan dijangka mencapai 15 sekolah menjelang akhir tahun ini.

    Dayang Rusydina semasa menyampaikan pembentangan. – GAMBAR SERAHAN CURIOUS MIND
    Antara aktiviti yang diadakan semasa program itu. – GAMBAR SERAHAN CURIOUS MIND
    GAMBAR SERAHAN CURIOUS MIND
    GAMBAR SERAHAN CURIOUS MIND

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda