Tuesday, February 4, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sebahagian besar kawasan di AS catat rekod suhu panas melampau

    WASHINGTON, 19 JULAI – Panas terik yang memecahkan rekod melanda sebahagian kawasan di Amerika Syarikat (AS) minggu ini, kurang sebulan selepas memasuki musim panas.

    Phoenix di Arizona kelmarin memecahkan rekod suhu panas yang dicatatkan hampir setengah abad yang lalu, dengan hari ke-19 berturut-turut melebihi 43 darjah Celsius (°C).

    Cuaca sebelah malam memberikan sedikit kelegaan, dengan suhu menurun kepada 34°C untuk hari kesembilan berturut-turut, lapor United Press International (UPI).

    “Walaupun di Phoenix suhu sentiasa panas pada musim panas, gelombang haba kali ini sangat kuat dan berlarutan.

    “Malangnya, ia adalah petanda kepada perkara yang akan muncul memandangkan unjuran kesan perubahan iklim yang paling boleh dipercayai ialah kesan yang berkaitan secara langsung dengan peningkatan suhu global,” kata Pengarah Pusat Sains dan Penyesuaian Iklim di Universiti Arizona, Katharine Jacobs.

    Seorang lelaki cuba menyejukkan diri semasa gelombang panas melanda Phoenix, Arizona pada 18 Julai. – AP

    Sebahagian besar kawasan di selatan AS selatan dibelenggu haba melampau, dengan suhu dari California hingga ke Florida telah memecahkan rekod.

    “Gelombang haba berbahaya dan berpanjangan untuk sebahagian besar kawasan di selatan, menyaksikan kira-kira 80 juta penduduk mungkin mengalami suhu atau indeks haba melebihi 40°C pada hujung minggu ini,” menurut amaran Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan kelmarin.

    Houston pada Selasa mungkin akan memecahkan rekod harian sepanjang 43 tahun, apabila suhu diramalkan mencecah 39°C.

    “Gelombang haba boleh membawa maut, terutamanya bagi gelandangan, mereka yang bekerja di luar rumah dan yang tidak mempunyai penghawa dingin mencukupi.

    “Mereka yang lebih berusia dan mempunyai masalah kesihatan perlu memastikan kekal terhidrat,” kata Jacobs.

    Kawasan yang mengalami suhu paling panas pada musim panas kali ini ialah bandar-bandar yang lebih besar, manakala pinggir bandar yang mempunyai banyak pokok-pokok bebas daripada cuaca panas melampau. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda