Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sebarkan kebaikan, kerahmatan islam

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Golongan belia Muslimin di rantau Asia Tenggara perlu sentiasa disemai dengan nilai-nilai luhur sebagai generasi pewaris dalam usaha menyuburkan semula zaman keemasan tamadun Islam, khasnya dalam menyebarkan kebaikan dan kerahmatan ajaran agama Islam kepada seluruh umat manusia.

    Ke arah itu, musabaqah tilawatil belia Asia Tenggara diharapkan menjadi wadah untuk membentuk keperibadian belia yang lebih baik, holistik dan menyeluruh selaras dengan titah paduka ayahanda agar mereka lebih bijak dan berhati-hati menilai serta memilih perubah-an yang mereka hadapi dan tidak mudah terjerumus dalam melaksanakan sesuatu perkara yang dilarang Allah SWT.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri menekankan perkara itu semasa berkenan bersabda pada Majlis Pembukaan Rasmi Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara ke-9 Tahun 1441H/2019M di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas malam ini.

    Duli Yang Teramat Mulia bersabda, golongan belia turut memainkan peranan utama mencorakkan calak kemajuan masa depan rantau ini yang berlatarbelakangkan berbagai cabaran dibawa oleh arus globalisasi termasuk kecanggihan teknologi infokomunikasi semasa.

    Duli Yang Teramat Mulia turut menyarankan agar usaha bersepadu diteruskan bagi menyemai keperibadian lengkap kepada belia kerana masa depan negara dan rantau ini bergantung kepada belia yang berakhlak dan siap siaga untuk memajukan diri, masyarakat dan umah secara keseluruhanya.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan bersabda pada majlis Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara ke-9. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Justeru, Duli Yang Teramat Mulia melahirkan harapan agar musabaqah belia ini terus dipertingkatkan ke arah mendekatkan lebih ramai belia Asia Tenggara kepada Al-Quran kerana penghayatan dasar dan ajaran kitab suci Al-Quran adalah elemen yang akan terus menjamin keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

    Duli Yang Teramat Mulia turut menekankan bahawa musabaqah ini adalah peluang keemasan belia rantau ini untuk saling memperbaharui semangat perpaduan dan ukhuwah yang setia terjalin di samping mempertingkatkan interaksi rakyat sebagai teras hubungan harmoni antara penduduk serantau yang berbilang bangsa dan agama.

    Dengan pegangan matlamat yang sama iaitu melahirkan lebih ramai generasi belia yang menjadikan pembacaan dan pengajian Al-Quran sebagai amalan lazim bagi membentuk insan yang benar-benar menghayati dan menjiwai kitab suci Al-Quran sebagai sumber panduan hidup yang syumul selaras dengan tuntutan Islam agar manusia mengkaji isi kandungan Al-Quran dengan mengamati ayat, ilmu dan rahsia yang tersirat di dalamnya, sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    Duli Yang Teramat Mulia turut bersabda menggesa agar belia mempersiapkan diri masing-masing ke arah memikul tanggungjawab sebagai pewaris bangsa dan negara.

    Sifat amanah yang dimiliki dan dipraktikan akan membawa berkat sepertimana amalan melazimkan diri untuk membaca Al-Quran dan mengamati maksudnya yang tersirat.

    “Di sinilah peranan mereka signifikan, bila golongan belia beramanah dan seterusnya menegakkan keadilan dalam setiap aspek kehidupan dan amalan,” sabda Duli Yang Teramat Mulia, mengulangi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2019 lalu, yang menekankan mengenai amanah yang wajib diamalkan dan sebagai tiang seri keadilan yang sepatutnya dijadikan pegangan hidup.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda