Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Orang ramai khususnya pemilik kenderaan diseru agar memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan.
Seruan itu dibuat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) apabila sebuah lagi kereta terbakar keseluruhan dalam kejadian di Kilometer (KM) 73 Lebuh raya Muara-Tutong pada petang 13 Januari lalu.
JBP dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan seramai 10 orang anggota bomba dan penyelamat berserta dua jentera bomba dari Balai Bomba Tutong dikejarkan ke tempat kejadian di KM 73 Lebuh raya Muara-Tutong sejurus menerima panggilan.
Apabila sampai di tempat kejadian, anggota bomba segera bertindak memadamkan kebakaran berkenaan dengan menggunakan satu jet hos dengan api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa tiga minit. Dalam kejadian berkenaan, tidak ada kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku dengan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.