Friday, February 7, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sebuah premis didenda, 6 alat timbangan disita

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Sebuah premis perniagaan telah didapati menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan enam bangku pasar didapati belum mendaftarkan alat timbangan semasa pemeriksaan bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES, hari ini, pemeriksaan bersepadu dijalankan sebagai penguatkuasaan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-peraturan di bawahnya, serta Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, dalam usaha bagi mempromosi iklim perniagaan yang beretika.

    Pemeriksaan bersepadu berkenaan telah dijalankan di Pasar Jerudong, Pasar Tani Selayun dan premis-premis perniagaan di sepanjang kawasan Jerudong.

    Sementara itu, pihak JPES telah mengeluarkan kompaun berjumlah $500 terhadap sebuah premis perniagaan atas kesalahan menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan bagi beberapa produk minyak masak.

    Manakala itu, Unit SDT juga mengeluarkan enam Notis Penyitaan ke atas pemilik alat timbangan di Pasar Jerudong dan Pasar Tani Selayun kerana tidak mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.

    Di samping itu, beberapa buah bangku pasar juga diarahkan untuk sentiasa memaparkan tanda harga bagi barangan yang dijual.

    Semasa pemeriksaan bersepadu itu juga, para peniaga di pasar berkesempatan mengongsi faktor cuaca yang tidak menentu dan kenaikan kos input tanaman iaitu baja menyumbang kepada kenaikan harga jualan.

    Pegawai penguat kuasa membuat pemeriksaan harga di sebuah premis perniagaan. – Gambar serahan JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda