Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Segera hentikan keganasan

    Oleh Syahmi Hassan –

    RIYADH, 22 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menzahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap peningkatan keganasan di Palestin baru-baru ini.

    Baginda seterusnya menggesa agar semua pihak untuk menghentikan keganasan, melaksanakan sekatan maksimum dan menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk mengelakkan potensinya merebak ke seluruh rantau Timur Tengah.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia menegaskan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah pada Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC) yang berlangsung di Ritz Carlton, Riyadh, Arab Saudi.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke sidang kemuncak tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Baginda turut menyeru masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk memudahcara usaha ke arah mencapai keamanan
    yang menyeluruh, adil dan berkekalan di Timur Tengah, termasuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin yang berpuluh tahun lamanya.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan menghadiri Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-GCC di Ritz Carlton, Riyadh, Arab Saudi. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan bergambar ramai bersama ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN dan GCC semasa Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di Riyadh, Arab Saudi. – Gambar oleh Infofoto
    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Ritz Carlton dialu-alukan oleh His Royal Highness Prince Mohammed. – Gambar oleh Infofoto

    Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Ritz Carlton dialu-alukan oleh Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, His Royal Highness Prince Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud.

    Sebelum Sidang Kemuncak ASEAN-GCC bermula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah menyertai ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN dan GCC yang lainnya bagi sesi bergambar ramai.

    Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada His Royal Highness Prince; dan Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Joko Widodo, selaku Pengerusi Bersama.

    Semasa sidang kemuncak itu juga, Baginda mengetengahkan hubungan budaya dan sejarah yang telah lama terjalin antara ASEAN dan GCC, yang berfungsi sebagai asas kukuh untuk perkongsian erat antara kedua-dua wilayah.

    Sebagai anggota masyarakat global yang bertanggungjawab, Baginda menekankan kepentingan untuk bersama menangani cabaran-cabaran seperti perubahan iklim dan berharap untuk bekerjasama, terutamanya melalui Pusat Perubahan Iklim ASEAN, untuk mencari strategi inovatif dan jangka panjang bagi rantau ini.

    Dalam hal tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menghargai hasrat kerajaan Arab Saudi untuk menandatangani memorandum persefahaman dengan Pusat Perubahan Iklim ASEAN; dan mengucapkan tahniah kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas peranannya sebagai pemimpin pada Persidangan Parti-parti UNFCCC ke-28 yang akan datang dan dalam mengeluarkan laporan Global Stocktake yang pertama.

    Pada penghujung sidang kemuncak tersebut, ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN dan GCC telah mengeluarkan Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Kenyataan ASEAN-GCC mengenai Perkembangan di Gaza. Di samping itu, ASEAN-Gulf Cooperation Council Framework of Cooperation 2024-2028 telah diambil maklum.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah hari bagi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC.

    Majlis Santap tersebut adalah bagi meraikan ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN dan GCC serta delegasi yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...