Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Sekolah Arab mula sesi pembelajaran bersemuka

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Sekolah-sekolah Arab seluruh negara serta Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) hari ini memulakan sesi persekolahan tahun ini dengan pengajaran dan pembelajaran bersemuka secara berperingkat mengikut garis panduan Fasa Awal Endemik.

    Pembelajaran bersemuka secara berperingkat ini bertujuan untuk memantau keadaan penularan wabak COVID-19 terlebih dahulu dalam kalangan pelajar-pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan sekolah-sekolah dan institusi pendidikan sebelum ianya dibuka ke peringkat seterusnya, selain membudayakan norma baharu di kalangan warga sekolah.

    Persekolahan Arab memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka pada hari ini untuk pelajar Sanah 10, 11 dan Pra U. Sementara itu, pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar tahun lainnya adalah melalui kaedah dalam talian atau secara Home Learning Pack (HLP).

    Pagi tadi Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah mencatat kehadiran seramai 707 pelajar Pra U1 dan Pra U2. Manakala bagi pelajar Sanah 10 dan 11 di sekolah-sekolah Arab, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah mencatat kehadiran 634 pelajar; Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha menerima 712 pelajar dan Ma’had Islam Brunei menerima 99 orang pelajar.

    ITQSHHB pula memulakan sesi persekolahan di Fasa Awal Endemik ini untuk siswa-siswi Diploma Aliyah Qiraat serta pelajar tahun 10 dan tahun 11.

    Sementara itu, pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar-pelajar lain adalah melalui kaedah dalam talian atau secara HLP.

    Seramai 68 orang siswa dan siswi Diploma Aliyah Qiraat, serta 57 orang pelajar lelaki dan 79 orang pelajar perempuan dari Tahun 10 dan 11 memulakan pembelajaran secara bersemuka hari ini.

    Para pelajar telah menjalani ujian ART, memeriksa suhu badan serta mendaftar kehadiran di sekolah masing-masing. Antara aktiviti yang diaturkan semasa sesi permulaan sekolah di Fasa Awal Endemik ini ialah sembahyang Hajat, membaca 30 juz Al-Quran dan Doa Khatam Al-Quran, serta membaca Doa Selamat, Doa Terhindar daripada Wabak COVID-19 serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Gambar fail menunjukkan para pelajar ketika memulakan persekolahan tahun lalu.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...