Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Dalam menyemarakkan lagi Sambutan Hari Guru di negara ini, Sekolah Fairview juga tidak ketinggalan mengadakan sambutan berkenaan di sekolah tersebut di Berakas, baru-baru ini.
Hadir di majlis Sambutan Hari Guru tersebut ialah Pengarah Urusan Sekolah Fairview, Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad bin Dato Paduka Haji Matnor dan Pengarah Akademik, Datin Paduka Hajah Fatimah binti Dato Paduka Haji Hussin.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan doa oleh guru mata pelajaran Pengajian Agama Islam sekolah berkenaan, Awang Norazmi bin Haji Ahad.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Prefek Tahun 6, Awang Muhammad Danish bin Haji Hajizul dan Guru Besar Sekolah Fairview, Dayang Samsiniah binti Haji Kepli.

Majlis juga dimeriahkan lagi dengan satu bacaan puisi bertajuk ‘The Most Admired/My Teacher, My Hero’ yang disampaikan oleh seorang murid Tahun 5, Dayangku Azalea Naqiyah binti Pengiran Ali Zaakbah. Selain itu, pelbagai permainan telah diadakan di dalam majlis berkenaan yang melibatkan guru-guru dan murid-murid dan juga persembahan nyanyian secara berkumpulan daripada murid-murid Kindergarten 3 dan Tahun 3.
Acara juga diselajurkan dengan penyampaian anugerah guru bagi menghargai guru-guru di sekolah berkenaan.