Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Sektor minyak dan gas perlu inovatif

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Sektor minyak dan gas perlu berubah, menyesuaikan diri dan inovatif untuk memenuhi keperluan masa yang berubah dengan menggabungkan amalan-amalan mampan, penggunaan teknologi baharu serta mempelbagaikan portfolio tenaga.

    Industri minyak dan gas merupakan bahagian penting ekonomi Negara Brunei Darussalam di mana ia memerlukan usaha kolektif dan kolaboratif antara industri, agensi-agensi kerajaan dan akademia untuk memastikan pembangunan ekonomi negara dalam menangani impak perubahan iklim.

    Di Universiti Brunei Darussalam (UBD), menerusi kurikulum pendidikannya, universiti itu berusaha untuk mempersiapkan graduannya dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan penting bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya untuk menyumbang serta memimpin ekonomi Brunei pada masa hadapan.

    Khusus kepada sektor tenaga, program-program sarjana muda dan graduan dalam bidang sains tulen dan sains sosial, ia telah diatur dengan teliti untuk memasukkan idea dan teknologi baharu bagi industri tenaga mampan masa hadapan.

    Perkara itu dijelaskan oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dalam ucapannya pada Forum Tenaga Petroleum (PEF) 2024 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD, hari ini.

    Beliau menambah, idea dan teknologi baharu itu lahir daripada aktiviti-aktiviti penyelidikan di UBD di mana penyelidikan dan pembangunan memainkan peranan penting dalam menjana ilmu pengetahuan baharu dan kepakaran tempatan dalam bidang berkenaan.

    Forum seterusnya menyaksikan pembentangan empat ucaptama yang disampaikan oleh Pengarah Teknikal Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Erik Legius; Ketua Hal Ehwal Alam Sekitar BSP, Michael Lampp; Pengurusan Decommissioning and Restoration BSP, Haji Idris bin Haji Jaafar dan Pengarah Centre for Advanced Material and Energy Sciences, Dr Haji Abdul Hanif bin Dato Paduka Haji Mahadi.

    Forum sehari yang membawa tema Bridging the Oil and Gas Industry’s Legacy to the Challenging Energy Landscape itu dihasratkan untuk memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya industri tenaga masa kini kepada pelajar-pelajar dari sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di Brunei.

    Acara itu juga menyediakan peluang kepada para pelajar untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai kejuruteraan petroleum sebagai satu kerjaya bagi landskap tenaga masa kini dan akan datang daripada profesional industri.

    PEF yang bermula pada 2018, dilaksanakan dengan kerjasama institusi-institusi pengajian tinggi, bermatlamat untuk mengetengahkan kemajuan teknologi dan kajian teknikal yang digunakan dana kejuruteraan petroleum dan geosains yang menyumbang kepada pengeluaran dan penerokaan selamat hidrokarbon di negara ini.

    Ia adalah selaras dengan matlamat wawasan 2035 iaitu bagi melahirkan individu berkemahiran tinggi yang berpendidikan serta pada masa yang sama memacu pembangunan dan pertumbuhan Negara Brunei Darussalam yang akan menyediakan kualiti kehidupan yang tinggi kepada warganya dan mencapai sebuah ekonomi yang dinamik serta
    mampan.

    Dr Hazri ketika menyampaikan ucapan semasa forum tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Para jemputan yang menghadiri forum sehari tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...