Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Sektor pertanian, perikanan pacu ekonomi negara

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Salah satu faktor untuk menjadi umat yang kuat, kaya atau tidak miskin ialah dengan bekerja dan berusaha serta menjauhi diri daripada sifat lemah dan malas, dan antara sumber kekuatan yang menjadi kelangsungan hidup umat ialah bidang pertanian dan perikanan.

    Sektor pertanian dan perikanan merupakan salah satu sektor yang berpotensi besar dalam meningkatkan ekonomi sesebuah negara, tegas khatib semasa khutbah Jumaat bertajuk ‘Memperkasa produk tambah nilai, pemacu ekonomi negara’ hari ini.

    Antara aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan perikanan, jelasnya, adalah penghasilan atau pengeluaran makanan seperti penanaman dan penternakan seperti lembu, kambing, ayam, ikan dan sebagainya.

    Khatib turut mengongsikan, terdapat banyak ayat Al-Quran menyebut tentang hasil tanaman dan buah-buahan yang beraneka macam dan ini menunjukkan betapa mustahak bidang pertanian pada pandangan Islam.

    “Rasulullah SAW juga telah mengingatkan tentang betapa perlunya tanah pertanian itu dibangunkan untuk menghasilkan bahan makanan dan tidak mengizinkan sama sekali tanah itu terbiar dan dibazirkan dengan begitu sahaja,” tambahnya.

    Gambar oleh Muiz Matdani

    Selain ibadah sembahyang dan sebagainya, khatib turut menjelaskan, melakukan aktiviti pertanian juga dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT kerana tanda kebesaran Allah dapat dilihat dengan jelas dalam proses kejadian tumbuh-tumbuhan atau tanaman yang diusahakan oleh para petani.

    Di samping itu, bekerja sebagai petani juga merupakan satu ibadah yang bukan sahaja memberi hasil kepada diri petani malah ia juga mengajar manusia memahami dengan sebenarnya hakikat tawakal kepada Allah dan beriman kepada kekuasaan Allah yang mengatasi segala bentuk kekuasaan lain.

    “Walaupun petani perlu bekerja keras dan menggunakan segala kemahiran untuk menjadikan usaha pertaniannya, akan tetapi yang menumbuhkan segala tanaman dan memberi hasil adalah Allah.

    “Manusia berusaha dan berdoa agar mendapat hasil yang baik, tetapi seandainya setelah semua itu dilakukan tidak juga mendapat hasil yang diharapkan, si petani hendaklah pasrah kepada ketentuan Allah dan menerima hakikat dengan hati yang terbuka.

    “Inilah intipati kepada konsep tawakal yang sebenar,” jelas khatib.

    Bagi umat Islam, kegiatan dalam bidang ini merupakan antara cara yang mudah bagi mendapat ganjaran pahala dari Allah di samping mendapat manfaat atau pendapatan yang halal daripada hasil jualan keluaran pertanian.

    Dengan memanfaatkan hasil bumi yang banyak itu, seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin canggih, penghasilan produk makanan berproses yang bersumberkan hasil pertanian dan perikanan akan dapat dipertingkatkan sehingga boleh dipasarkan ke luar negara.

    Penghasilan secara berterusan boleh membuatkan sesebuah negara mampu mengurangkan kebergantungan dan keperluan negara untuk mengimport bahan makanan dari luar negara dan mampu menjamin keselamatan bekalan makanan dalam negara terutama pada masa kritikal ketika jangkitan wabak penyakit.

    Walau bagaimanapun, jelas khatib, perhatian tidak seharusnya diberikan hanya kepada sektor ini dengan mengabaikan sektor lain, ini kerana matlamat utama untuk mencapai keseimbangan dalam segala bidang bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam membangun negara dan umah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...