Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Selamatkan khazanah manuskrip negara

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Seramai 45 orang peserta dari 15 jabatan kerajaan menyertai Bengkel Asas Pemuliharaan Manuskrip dan Proses Pensijilan yang akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga 27 Januari di Dewan Teater PM Sharifuddin, Bangunan Arkib Negara Brunei Darussalam.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan bengkel berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Bengkel berkenaan merupakan usaha Jabatan Muzium-muzium melalui Bahagian Pemeliharaan dan Pembaikan dan Arkib Negara Brunei Darussalam untuk memberikan pendedahan, kefahaman, kesedaran serta penyebaran maklumat tentang kerja dan kaedah pemeliharaan kertas manuskrip dan penjilidan.

    Pemangku Pengarah Muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus dalam ucapan alu-aluannya berkongsi faedah bengkel berkenaan antaranya, memberikan pendedahan serta kefahaman dalam aspek-aspek berkaitan pemuliharaan dan penjilidan dan kesedaran bahawa kerosakan manuskrip di jabatan-jabatan dan bahagian masing-masing akan dapat dipulihara.

    Beliau juga berkata, Jabatan Muzium-muzium melalui Bahagian Pemeliharaan dan Pembaikan dan Arkib Negara Brunei Darussalam adalah antara institusi kerajaan yang banyak mengumpul dan memelihara koleksi manuskrip dalam pelbagai cabang bidang dan ilmu termasuk pengajaran agama Islam, perubatan, sejarah, syair-syair, surat-surat perjanjian dan sebagainya.

    Dr Siti Norkhalbi merasmikan bengkel berkenaan sambil disaksikan oleh Pengiran Haji Rosli. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH : Para peserta yang menghadiri bengkel tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Khazanah warisan negara yang mempunyai nilai kebangsaan dan sejarah yang tinggi bagi Negara Brunei Darussalam ini perlu sentiasa dipelihara bagi memelihara tamadun masyarakat Brunei sesuai dengan tuntutan di dalam sera memelihara Maqasid Syariah.

    Dengan memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan bahan warisan dapat memberikan impak kepada masyarakat dalam mengekalkan khazanah warisan negara. Ini dapat memastikan kekukuhan bangsa dan negara dengan adanya pemeliharaan ke atas khazanah warisan budaya dan bahan bersejarah.

    Beliau juga berharap dengan bengkel berkenaan akan menjadi titik tolak untuk berkongsi pengetahuan, hasil penyelidikan, amalan terbaik dalam bidang pemeliharaan dan memupuk banyak lagi kerjasama antara pihak-pihak berkepentingan dalam mempromosikan kepentingan memelihara warisan sejarah kita untuk generasi akan datang.

    Para peserta akan diberikan pendedahan tentang latihan asas secara teori dan praktikal tentang kaedah pemeliharaan kertas dan penjilidan sekali gus mewujudkan kefahaman dan kesedaran serta penyebaran maklumat tentang tugas-tugas yang menjurus kepada kerja-kerja pemuliharaan terhadap bahan koleksi yang bernilai khususnya manuskrip.

    Para peserta juga berkesempatan untuk mengunjungi beberapa institusi lain yang juga mengendali dan menjaga bahan manuskrip seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Pengkajian Borneo (penBorneo), di Pusat Sejarah Brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...