Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tingkat pengetahuan penggunaan tenaga nuklear

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Dalam usaha penting untuk meningkatkan tadbir urus nuklear, Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengadakan bengkel yang memberikan tumpuan kepada kepentingan rangka undang-undang dan kawal selia dalam pengurusan tadbir penggunaan tenaga nuklear secara aman.

    Bengkel dua hari bermula hari ini mempamerkan langkah dan usaha penting dalam memastikan penggunaan aplikasi radiasi dan nuklear yang selamat serta terjamin di negara ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian bengkel di Hotel Radisson, ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datin Paduka Hajah Anifa Rafiza binti Haji Abdul Ghani.

    Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Interim SHENA, Haji Mohd Yusof bin Haji Mohd Taufik dalam ucapan pembukaannya memberikan perhatian khusus kepada keperluan bagi mengurus aktiviti nuklear melalui perundangan.

    Beliau menekankan bahawa keadaan keselamatan dan langkah-langkah perlindungan yang diperlukan oleh sifat aktiviti nuklear adalah unik di mana ia memperkenalkan pelbagai kompleksiti kepada sistem kawal selia konvensional.

    Datin Paduka Hajah Anifa Rafiza bergambar ramai dengan pegawai SHENA dan IAEA serta peserta bengkel berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Haji Mohd Yusof menyampaikan ucapannya semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Oleh itu, tambahnya, bengkel berkenaan bermatlamat bagi melengkapkan semua peserta dengan pemahaman yang mendalam melalui kepentingan undang-undang yang komprehensif yang berkaitan dengan penggunaan nuklear dan radiasi.

    Kira-kira 40 orang peserta menyertai bengkel berkenaan termasuk wakil dari agensi kerajaan dan pihak-pihak yang berkepentingan di mana pembentangan daripada pakar IAEA adalah mengenai elemen undang-undang nuklear kebangsaan yang komprehensif dengan kajian kes antarabangsa.

    Para peserta juga berpeluang menyertai sesi perbincangan berkumpulan yang diketuai oleh pakar dari IAEA mengenai topik rangka perundangan antarabangsa bagi liabiliti nuklear.

    Bengkel itu merupakan salah satu inisiatif pihak IAEA untuk memberikan bantuan dalam memperkukuhkan perundangan kepada negara-negara ahli IAEA melalui Program Kerjasama Teknikal.

    Ia bertujuan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pihak-pihak yang berkepentingan utama mengenai kepentingan penubuhan rangka undang-undang dan pengawalseliaan nuklear yang kukuh di negara ini untuk mengawal semua aplikasi yang berkaitan dengan nuklear di Negara Brunei Darussalam.

    Tambahan pula, ia juga memberikan peluang bagi perbincangan mengenai empat tonggak undang-undang nuklear dan instrumen perundangan yang diterima pakai di bawah naungan IAEA.

    Itu adalah penting bagi memastikan penggunaan selamat, terjamin dan aman bagi aplikasi yang berkaitan dengan nuklear yang sedia ada dan terancang melalui rangka tersebut.

    Selepas bengkel, sesi perbincangan dua hala turut dianjurkan bagi membolehkan pihak IAEA, SHENA dan pihak-pihak berkepentingan negara yang berkaitan membincangkan dan mengenal pasti sebarang peluang untuk mengukuhkan undang-undang nuklear kebangsaan yang sedia ada Akta Perlindungan Sinaran, Bab 228.

    Ia bertindak sebagai penggerak bagi penguatkuasaan piawaian keselamatan dan keamanan nuklear yang ketat di Negara Brunei Darussalam untuk perlindungan pekerja, masyarakat dan alam sekitar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...