Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Selamatkan Tasik Ohrid Dari ancaman alam sekitar

    OHRID, MACEDONIA UTARA – Dimitar Pendoski berjalan menuju ke hujung laluan pejalan kaki yang goyah, melintasi beberapa orang muda yang berjemur di bawah matahari dan memindahkan tarpaulin bagi melindungi restoran yang kosong di tepi tasik, baru-baru ini ditutup oleh pegawai yang menerima tekanan daripada UNESCO.

    Kerajaan Macedonia Utara bergelut untuk melaksanakan peraturan melindungi alam semula jadi dan menutup beberapa kawasan seperti restoran Pendoski yang dibina sendiri, demi menyelamatkan Tasik Ohrid daripada disenaraikan sebagai tapak warisan dunia yang terancam dalam agensi kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    “Di sini, semua orang mengalami kerugian – para pekerja, ekonomi tempatan, dan sudah tentu para pelancong kerana mereka tidak ada tempat hendak pergi di pantai,” Pendoski memberitahu AFP, tapak yang hangat dipertahankan oleh pencinta alam semula jadi.

    Dengan keunikan haiwan dan hidupan tumbuh-tumbuhan, kesan peninggalan prasejarah dan gereja-gereja dari era Byzantin, Tasik Ohrid dan kawasan sekitarnya menikmati tempoh empat dekat disenaraikan sebagai kawasan tapak warisan dunia UNESCO.

    Hanya beberapa tempat di seluruh dunia yang telah diberikan status bagi alam semula jadinya dan kebudayaan mereka, sumber prestij bagi Tasik Ohrid – dan kelebihan utama dalam pemasaran kawasan tersebut kepada pelancong.

    Tasik Ohrid disenaraikan sebagai tapak warisan dunia yang terancam dalam agensi kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu. – AFP
    Nikola Paskali sering mencari relik dari Zaman Tembaga namun kecewa kerana sering kali menemui barang buangan seperti televisyen dan tab mandi. – AFP
    Pembangunan haram, pembalakan dan ladang perikanan, pengubahan sungai dan pembinaan jalan raya yang tidak teratur menjadi punca Tasik Ohrid menjadi tercemar. – AFP
    Dimitar Pendoski semasa berada di restoran yang kosong di tepi tasik Ohrid. – AFP

    Namun badan PBB berkata wilayah Ohrid akan disenaraikan sebagai ‘dalam bahaya’ semasa pertemuan akan datang di peringkat tertinggi pada bulan ini kerana kebimbangan mengenai pembangunan dan pencemaran yang tidak terkawal.

    Melainkan jika Macedonia Utara dapat membuat perundingan diplomatik dengan berjaya, tasik berkenaan akan disebut bersama dengan keajaiban Terumbu Sawar Besar Australia.

    Datuk bandar Ohrid, Konstantin Geogieski berada di tengah-tengah kemelut antara badan pengurusan setempat dan kebangsaan yang ditugaskan untuk menangani masalah tersebut.

    Misinya sangat rumit dari segi dimensi antarabangsa – sebahagian tasik itu terletak di Albania dan para pegawai turut mengambil peranan dalam perundingan bersama UNESCO.

    Tetapi Georgieski tidak merasa cemas.

    “Ia tidak bermakna dunia akan berakhir,” katanya mengenai keputusan UNESCO, dan memberitahu bahawa status warisan tidak membawanya sebarang dana.

    UNESCO pertama kali memasukkan kawasan bahagian Macedonia ke dalam senarai tapak warisan dunianya pada 1979, mengembangkan kemasukan merangkumi bahagian Albania hanya pada 2019.

    Semasa di bawah Yugoslavia, Ohrid merupakan sebuah kawasan yang sunyi dan hanya dikenali dengan hospitalnya dan sebagai pusat latihan bagi pasukan sukan.

    Selepas penaklukan Macedonia dan kekecohan di Yugoslavia pada tahun 1990an, sektor pelancongan mula dibangunkan di sepanjang tasiknya.

    Esplanad, hotel lima tingkat, restoran dan bar mula berkembang – dan kemudian apartmen mula dibangunkan menutupi bandar lama.

    Para pengusaha mula mengeksploit jalan keluar undang-undang bagi membina tanah terlindung, yang sering kali dilakukan tanpa dihubungkan kepada sistem pembendungan.

    UNESCO menganggarkan satu pertiga bangunan di wilayah Ohrid kebanyakannya mengepam sisa buangan terus ke tasik.

    “Segala-galanya menjadi tidak menentu,” kata Nikola Paskali, ahli arkeologi yang menghabiskan masa selama dua tahun menyelam tasik berkenaan.

    Kadangkala dia mencari relik dari Zaman Tembaga tetapi sering kali bertemu dengan sampah – televisyen, sisa buangan bilik air, malahan tab mandi berukuran penuh antara barangan yang sering dijumpainya.

    “Pembuangan sampah menjadi penyakit barah bagi tasik ini,” katanya, menuduh kerajaan gagal berbuat apa-apa untuk melindungi biodiversiti tasik yang terbentuk lebih daripada 1.3 juta tahun lalu dan menjadi tempat tinggal bagi puluhan spesies unik.

    UNESCO telah menekankan masalah daripada aktiviti pembangunan haram, pembalakan dan ladang perikanan, pengubahan sungai dan pembinaan jalan raya yang tidak teratur. Kebanyakannya didorong oleh keinginan untuk menjadi pusat pelancongan di rantau tersebut.

    “Jika kami mulakannya sekarang, ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk memperbaiki kerosakan yang telah kami lakukan,” kata Katarina Vasileska dari kumpulan alam sekitar akar umbi, SOS Ohrid. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda