Gambar AFP
MASTERTON, NEW ZEALAND – Dalam komuniti mengetam bulu biri-biri yang kecil di New Zealand, Joel Henare dianggap sebagai seorang G.O.A.T (Greatest of All Time) seperti Lionel Messi, Tiger Woods atau Jonah Lomu dalam bidang tersebut. Kini, berusia 31 tahun, dia pertama kali melibatkan diri dalam pertandingan mengetam bulu biri-biri pada usia 12 tahun.
Henare sejak itu telah menjuarai 132 pertandingan mengendalikan bulu biri-biri, iaitu pertandingan memisahkan bulu yang terpotong dari bulu biri-biri yang dicukur dengan pantas.
Dalam bidang tersebut,dia dianggap sebagai yang terbaik. Dia memulakan kerjanya dengan gerakan artistik, menghamparkan bulu biri-biri yang berbelit-belit di atas meja, sebelum merapikan, mengunting dan memghiris bahagian yang tidak diinginkan.
Dalam masa 60 saat, dia sudah beralih kepada biri-biri seterusnya.
Di samping itu, Henare juga pernah mendominasi acara Golden Shears, satu acara berprestij yang menarik minat beberapa pengetam dan mengendali bulu biri-biri dari seluruh dunia ke Masterton, sebuah bandar pertanian wilayah dengan populasi 27,000.
Selepas meraih gelaran juara pengendali bulu biri-biri yang kesembilan berturut-turut, Henare yang keletihan berkata kejayaannya adalah hasil kerja keras, disiplin, dan pemikiran pantas.
“Awda perlu cergas secara fizikal, tetapi awda juga perlu memiliki kekuatan mental,” katanya kepada AFP. “Konsistensi adalah kunci. Awda perlu berfikir dengan bijak pada setiap masa,” tambahnya.
New Zealand, yang mempunyai lima juta orang penduduk dan 25 juta ekor biri-biri, adalah salah satu pengeksport bulu biri-biri utama di dunia, mengeksport bulu biri-biri bernilai AS$284 juta ke luar negara tahun lalu.
Walau bagaimanapun, kos penternakan yang meningkat dan kejatuhan harga bulu biri-biri telah menyebabkan jumlah haiwan biri-biri di negara itu menurun dari jumlah tertinggi 72 juta pada tahun 1980an.
Namun, kemahiran khusus mereka membuatkan pengetam dan mengendali bulu biri-biri tetap diperlukan walaupun jumlah haiwan tersebut menurun, kata Mark Barrowcliffe, Presiden Persatuan Kontraktor Pencukuran Biri-biri New Zealand, kepada AFP.
“Pengetam bulu biri-biri menghadapi banyak cabaran yang berbeza, termasuk kekurangan tenaga kerja, jadi akan sentiasa ada pekerjaan bagi pengendali atau pengetam bulu biri-biri yang terlatih dengan baik,” tambahnya.
Pengendalian bulu biri-biri adalah perniagaan yang serius di New Zealand, yang juga mempunyai persekutuan yang ditetapkan iaitu Shearing Sports NZ, untuk mengawasi pertandingan tersebut.
Pengetam bulu biri-biri profesional memerlukan ketangkasan dan stamina yang luar biasa untuk menggunting ratusan biri-biri yang mana setiap satunya dengan berat sekitar 60 kilogram, semasa hari bekerja lapan jam biasa.
Pengendalian bulu biri-biri juga memerlukan pendekatan yang teratur, Henare berkata, “Untuk melakukannya dengan betul setiap kali, bukan sahaja di atas pentas, tetapi di mana-mana sahaja awda berada di seluruh dunia,” jelasnya.
Penganjur Golden Shears menyifatkan Henare sebagai “Jonah Lomu dalam sukan mengetam,” yang merujuk kepada legasi terkenal ragbi New Zealand itu.
Namun, pengetam biri-biri terhebat sepanjang masa itu kini berhenti melakukan kerja itu secara sepenuh masa empat tahun lalu dan kini hanya bersaing dalam pertandingan sebagai hobi.
Teknik, tip, dan rahsia dalam mengendalikan biri-biri dan bulu haiwan itu dipelajari secara turun temurun di kandang biri-biri New Zealand, dan Henare merupakan keturunan daripada keluarga yang terkenal dalam bidang ini.
Neneknya adalah juara pengendali bulu biri-biri di dataran Otago. Dua bapa saudaranya yang hebat adalah pengetam bulu biri-biri yang bertanding di peringkat akhir Golden Shears pada tahun 1960an.
Penerus muda kepada Henare sebagai juara Golden Shears telah pun muncul.
Antaranya ialah remaja sensasi pengetam biri-biri, Reuben Alabaster, yang memecahkan rekod dunia solo Disember lalu dengan mencukur 746 ekor biri-biri dalam masa lapan jam.
Alabaster berkata dia sering letih di penghujung pertandingan, “Tetapi awda hanya perlu meneruskannya jika ia adalah mimpi yang awda kejar.”
“Sungguh menakjubkan apa yang boleh dilakukan oleh badan awda,” tambahnya.
Seperti Henare, remaja berusia 19 tahun itu membesar di sekitar kandang biri-biri, mempelajari cara mengetam sejak kecil daripada ahli keluarga seperti sepupunya, Sheree Alabaster yang merupakan juara dunia pengendalian bulu biri-biri pada 2008.
Mengetam bulu biri-biri juga bergantung kepada teknik dan latihan yang betul.
“Ini semua tentang kedudukan, sesetengah biri-biri lebih mudah untuk dikendalikan daripada yang lain,” kata remaja itu.
“Ia akan berasa selesa jika awda memegangnya dengan betul juga.
“Sesetengah biri-biri malah mempunyai sikap langsung tidak mahu dicukur.
“Malah pengetam biri-biri terbaik di dunia pun masih kesulitan dan disepak oleh biri-biri tersebut,” ujarnya. – AFP