Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Selco-PV dijangka kurangkan beban grid elektrik Sabah

    KOTA KINABALU, 1 FEB – Pelaksanaan Penggunaan Sendiri bagi Pemasangan Solar Fotovolta (SELCO-PV) secara meluas di negeri ini dijangka dapat mengurangkan beban puncak pada grid elektrik negeri, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid.

    Beliau berkata SELCO-PV juga akan memberikan kelegaan kepada margin rizab penjanaan dalam grid yang kini tidak mencukupi terutama pada siang hari apabila permintaan beban tinggi berlaku antara 11 pagi hingga 4 petang.

    “ECoS telah melancarkan program SELCO-PV Sabah di laman web ECoS yang menyediakan garis panduan mengenai sistem solar fotovolta bersambung grid untuk kegunaan sendiri di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Program SELCO-PV bertujuan menggalakkan penggunaan solar fotovolta (PV), sumber tenaga boleh diperbaharui yang membolehkan pengguna elektrik menjana penggunaan mereka melalui sistem PV yang dipasang terutamanya pada struktur bumbung bangunan masing-masing.

    Beliau menjelaskan pelaksanaan SELCO-PV Sabah dijangka meningkatkan campuran penjanaan tenaga boleh diperbaharui di negeri itu yang kini berada pada tahap tujuh peratus.

    “Ini akan dapat membantu mengurangkan penggunaan elektrik daripada grid, menyebabkan penjimatan bil elektrik dan pengurangan jejak karbon.

    “Inisiatif ini selaras dengan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) dilancarkan September tahun lepas,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...